AKTA BEKALAN ELEKTRIK

TAJUK : AKTA BEKALAN ELEKTRIK
TUJUAN : 
Selepas tajuk ini pelajar boleh :-
1) Menerangkan istilah-istilah penggunaan dalam Akta Bekalan Elektrik 1990
2) Menerangkan keperluan peruntukan Akta Bekalan Elektrik 1990
                 
PENERANGAN :
Setiap Orang Kompeten perlu mengetahui apa yang terkandung dalam Akta Bekalan Elektrik dan Peraturan-Peraturan Elektrik, dimana didalamnya terkandung segala peruntukan bagi pengawalseliaan industri pembekalan elektrik, pembekalan elektrik pada harga yang munasabah, pelesenan mana-mana pepasangan elektrik, pengawalan mana-mana pepasangan, loji dan kelengkapan elektrik berkenaan dengan perkara yang berhubung dengan keselamatan orang dan penggunaan elektrik dengan cekap dan bagi maksud yang berkaitan dengannya.


DEFINISI AKTA BEKALAN ELEKTRIK
1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Bekalan Elektrik 1990 dan hendaklah mula  berkuatkuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta.
(2) Akta ini hendaklah terpakai seluruh Malaysia, walau bagaimanapun Menteri boleh melalui perintah menggantung penguatkuasaan keseluruhan atau mana-mana peruntukan Akta di mana-mana negeri.


AKTA BEKALAN ELEKTRIK 1990
PERKARA YANG BERKAITAN DENGAN KERJA-KERJA PEPASANGAN, PENGENDALIAN, DAN PENYELIAAN ELEKTRIK :
Akta ini diwartakan pada 1990 sebagai satu panduan kepada perlaksanaan  dan sebagai peruntukan kepada mengawal selia industri pembekalan elektrik dari segi harga dan perlesenan kepada mana – mana pepasangan elektrik di samping kepada operasi loji  yang mengunapakai bekalan elektrik.
Berikut disenaraikan Seksyen-Syeksen yang mana didalamnya terkandung maklumat serta panduan yang perlu diketahui dan dipatuhi dalam menjalankan kerja-kerja PEPASANGAN, PENGENDALIAN dan PENYELIAAN elektrik. Dengan merujuk kepada buku Akta Bekalan Elektrik 1990 & Peraturan-Peraturan Elektrik 1994, baca perkara dan keterangan tajuk utama pada bahagian yang berkaitan dan lihat pada nombor seksyen dibahagian sebelah kirinya. Berpandukan nombor seksyen tersebut cari dan baca secara terperinci huraian yang terkandung di dalam Seksyen tersebut.



BAHAGIAN I
PERMULAAN

Seksyen

1.  Tajuk ringkas, mula berkuatkuasa dan pemakaian
2.  Tafsiran


BAHAGIAN II
(Dipotong)
3.    Dibatalkan

BAHAGIAN III
FUNGSI, TUGAS DAN KUASA SURUHANJAYA

4.    Fungsi dan tugas
4A.  Pegawai diberi kuasa
5.    Kuasa memasuki dengan waran atau selainnya, memeriksa, memeriksateliti,  
       menyita, dsb.
5A.  Kos memegang benda yang disita
5B.  Pelepasan benda yang disita
6.    Kuasa menyiasat
7.    Kebolehterimaan pernyataan
8.    Halangan, dsb. Suatu kesalahan

BAHAGIAN IV
PEPASANGAN BERLESEN DAN BERDAFTAR

9. Lesen dikehendaki bagi penggunaan pepasangan : terma, syarat dan   
kandungan lesen
9A.    Obligasi untuk mengemukakan pelan perniagaan
9B. Kehendak bagi pelesenan
9C. Standard prestasi pembekalan dan perkhidmatan oleh
pemegang lesen
9D. Akaun tahunan yang sepatutnya oleh pemegang lesen
9E Perkiraan bagi perolehan elektrik
10. Kuasa untuk memasuki dan memeriksateliti tanah
11.    Kuasa untuk memasuki tanah bagi maksud pembinaan
12.    Talian bekalan dan kelengkapan lain di atas tanah Kerajaan
13. Penyenggaraan, pembaikan dan peningkatan pepasangan
14. Pengalihan atau pengubahpindaan talian bekalan, dsb.
15. Kecualian bagi perjanjian izin-lalu
16. Pampasan
17. Pengurangan atau penghentian bekalan : liabiliti
18. Cagaran : penggantungan dan pembatalan lesen
19. Sekatan penggunaan untuk maksud-maksud yang dinyatakan
20. Pengecualian kelengkapan daripada distres dan penahanan
21. Pendaftaran pepasangan
22. Pemeriksaan berkala pepasangan
22A. Pengendali Sistem
22B. Pembeli Tunggal

BAHAGIAN V
KAWALAN KOMPETEN

23. Orang-orang yang menjaga
 
BAHAGIAN VA
PENGGUNAAN ELEKTRIK DENGAN CEKAP

23A.   Menteri hendaklah menentukan standard, dll.
23B.   Pepasangan hendaklah memenuhi kehendak
23C.   Kelengkapan hendaklah memenuhi kehendak
23D.   Pendaftaran orang yang memberikan perkhidmatan yang berhubungan dengan
          penggunaan elektrik dengan cekap

BAHAGIAN VI
PEMBEKALAN OLEH PEMEGANG LESEN

24. Kewajipan membekal apabila diminta
25. Kekecualian kepada kewajipan membekalkan elektrik
26. Kuasa untuk menetapkan tarif dan caj
26A.  Pemegang lesen boleh mengenakan surcaj
27. Kuasa mendapatkan kembali perbelanjaan
28. Kuasa menghendaki cagaran
28A.  Pemulangan cagaran dan bunga
28B. Perjanjian pembekalan dengan pengguna   
29. Perjanjian Khas mengenai bekalan
30. Penentuan pertikaian
30A. Pemberitahuan pertikaian dan keputusan mengikat oleh
Suruhanjaya
30B. Daftar keputusan
31. Pemastian harga maksimum bagi penjualan semula elektrik
32. Caj bagi bekalan elektrik hendaklah ditentukan melalui meter yang sesuai

BAHAGIAN VII
PEMBERITAHUAN KEMALANGAN ATAU KEBAKARAN

33. Kemalangan serius hendaklah dilaporkan dan penyiasatan oleh Suruhanjaya



BAHAGIAN VIIA
KESELAMATAN PEPASANGAN DAN KELENGKAPAN

33A. Tanggungjawab pemegang lesen terhadap keselamatan
33B. Tanggungjawab pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan
domestik, pemegang lesen bagi jualan dan pemegang lesen bagi pepasangan persendirian bagi keselamatan
33C. Menjalankan kerja elektrik
33D. Tanggungjawab yang berhubungan dengan kerja selain kerja elektrik
33E. Pematuhan pemeriksaan
33F. Tafsiran

BAHAGIAN VIII
SIASATAN DAN TIMBANGTARA

34. Prosedur berhubungan dengan siasatan dan timbangtara
35. Kuasa mengadakan siasatan
36. Timbangtara

 

BAHAGIAN IX

KESALAHAN DAN PENALTI

37. Kesalahan-kesalahan
37A. Kesalahan yang dilakukan oleh pertubuhan perbadanan
37B. Kesalahan cubaan dan subahat
38. Pemotongan bekalan elektrik
39. Liabiliti tidak terjejas
40. Beban pembuktian
41. Pampasan kerana kerosakan
42. Pendakwaan
43. Pengkompaunan
44. Hadiah untuk maklumat
44A. Penggunaan talian bekalan, dsb., bagi maksud komunikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998


BAHAGIAN IXA
KUMPULAN WANG INDUSTRI ELEKTRIK

44B. Sumbangan oleh pemegang lesen
44C. Kumpulan Wang Industri Elektrik
44D. Pelaburan
44E. Akaun



BAHAGIAN X

AM


45. Langkah awasan semasa melaksanakan kerja
45A. Pengauditan pemegang lesen, pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestic
45B. Penentuan standard pepasangan atau kelengkapan
45C. Penyimpanan rekod dan dokumen
46. Gangguan elektrik terhadap talian pengisyarat Kerajaan
47. Langkah awasan terhadap elektrik atmosfera
48. Sekatan terhadap sambungan dengan bumi
49. Prosedur dalam hal kecacatan berbahaya pada pepasangan atau bahagiannya
50. Larangan mengambil kanak-kanak bekerja
50A. Pembangunan kod oleh Suruhanjaya dan pematuhan baginya
50B. Penahanan dokumen oleh Suruhanjaya
50C. Garis panduan atau arahan oleh Suruhanjaya
50D. Perubahan, kajian semula atau pembatalan kod, garis panduan atau arahan oleh Suruhanjaya
50E. Kesalahan bagi ketidakpatuhan kod, garis panduan atau arahan Suruhanjaya
50F. Daftar kod, garis panduan atau arahan
51. Kuasa-kuasa khas darurat
52. Kuasa untuk mengisytiharkan sumber-sumber air
52A. Jaminan maklumat infrastruktur bekalan
52B. Obligasi untuk memberikan maklumat


BAHAGIAN XI
KUASA UNTUK MEMBUAT PERATURAN-PERATURAN

53.  Kuasa untuk membuat peraturan-peraturan

BAHAGIAN XII
PELBAGAI


54.  Pengecualian
55.  Peruntukan peralihan dan sekatan yang dikenakan pada lesen yang   
          dikeluarkan sebelum Akta ini
 56.  Pemansuhan Akta Elektrik 1949 dan Akta Jemaah Pemeriksa Elektrik 1983 dan   
 kecualian berkenaan dengannya

 JADUAL-JADUAL







BAHAGIAN I
PERMULAAN

1. Tajuk ringkas, permulaan kuat kuasa dan pemakaian
(1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Bekalan Elektrik 1990 dan hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta.

(2) Akta ini hendaklah terpakai di seluruh Malaysia, walau bagaimanapun Menteri boleh melalui perintah menggantung penguatkuasaan keseluruhan atau mana-mana peruntukan Akta ini di mana-mana Negeri.


2. Tafsiran

Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“bahaya” ertinya bahaya kepada kesihatan atau kepada nyawa atau anggota badan manusia kerana renjatan, terbakar, atau kecederaan lain dan termasuklah bahaya kepada harta, pepasangan atau kelengkapan yang diakibatkan oleh penjanakuasaan, penghantaran, pengagihan atau penggunaan elektrik;

“cedera parah” dan “cedera” masing-masingnya mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Kanun Keseksaan [Akta 574];

“dengan curang” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Kanun Keseksaan;

“ditebat” ertinya disaluti atau dilindungi dengan bahan penebat;

“ditetapkan”, melainkan jika dinyatakan selainnya, ertinya ditetapkan melalui peraturan-peraturan yang dibuat di bawah seksyen 53;

“elektrik” ertinya tenaga elektrik atau kuasa elektrik apabila dijana, dikeluarkan, dihantar, diagihkan, dibekalkan atau digunakan bagi apa-apa maksud kecuali bagi maksud penghantaran apa-apa komunikasi atau isyarat;

“faktor kuasa” ertinya nisbah kuasa aktif pada kuasa ketara;

“hidup” atau “bertenaga”, apabila dipakai bagi sesuatu sistem atau mana-mana bahagian sesuatu sistem, ertinya bahawa voltan wujud di antara apa-apa konduktor dengan bumi atau di antara mana-mana konduktor dengan konduktor lain dalam sistem itu;

“ infrastruktur bekalan elektrik” ertinya—
(a) stesen jana kuasa;

(b) talian bekalan utama dan talian bekalan;

(c) pencawang bagi penukaran, pengubahan atau pengawalan elektrik;

(d) kelengkapan bagi pemeteran, pemantauan atau pengawalan elektrik; dan


(e) apa-apa dawai, kelengkapan dan laluan termasuk terowong dan lubang
atau lain-lain yang digunakan bagi, atau berkaitan dengan, penjanakuasaan, penghantaran, pengagihan atau pembekalan elektrik,
pemegang lesen;’;

“jana kuasa” ertinya mesin berputar daripada apa-apa jenis bagi menukar tenaga mekanik kepada tenaga elektrik;

“jualan” ertinya aktiviti membekal dan menjual elektrik kepada pengguna akhir;

“kawasan bekalan” ertinya kawasan yang dalamnya pihak berkuasa bekalan atau pemegang lesen dibenarkan untuk menjana kuasa dan atau membekalkan elektrik;

“kelengkapan” termasuklah apa-apa barang bagi maksud seperti penjanakuasaan, penukaran, penghantaran, pengagihan atau penggunaan tenaga atau komunikasielektrik, seperti mesin, pengubah, radas, alat penyukat, peranti pelindung, bahan pendawaian, aksesori produk elektrik, kelengkapan elektrik pengguna dan perkakas;

“kelengkapan elektrik pengguna” ertinya suatu perkakas, produk, dawai, peranti, aksesori atau apa-apa bahagiannya, yang menggunakan elektrik bervoltan rendah yang—
(a) dijual kepada orang awam; atau
(b) tidak memerlukan kemahiran khusus dalam pengendaliannya;

“kerja elektrik” ertinya apa-apa kerja yang dilaksanakan atau yang dijalankan pada suatu pepasangan elektrik dan termasuklah pemasangan, pembinaan, pendirian atau pembaikan, pengubahan struktur, penggantian mana-mana bahagiannya, penambahan apa-apa bahagian padanya atau penjalanan apa-apa kerja bagi maksud penyenggaraannya, tetapi tidak termasuk kerja berhubung dengan—

(a) pengilangan suatu pepasangan elektrik atau pemasangan dalam proses,
 atau berkaitan dengan, pengilangannya bagi maksud menghasilkan  
 barang baru; atau

(b) peminyakan, penggrisan, pembersihan atau pengecatan suatu         
     pepasangan elektrik;

“keselamatan awam” ertinya penghindaran bahaya kepada orang awam, kepada harta awam dan kepada lebuh, rel keretapi, lapangan terbang, pelabuhan, terusan, limbungan, dermaga, pangkalan, jambatan, kerja gas dan apurtenannya serta talian telegraf, talian telefon dan talian pengisyarat elektrik lain yang dipunyai atau dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri;

“keselamatan diri” ertinya penghindaran bahaya kepada individu atau kepada harta persendirian;

“Ketua Pegawai Eksekutif” ertinya Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya;
“komunikasi” mempunyai erti yang diberikan kepadanya di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588];

“konduktor" ertinya konduktor elektrik yang diatur supaya bersambung secara elektrik dengan sesuatu sistem;

“kualiti kuasa” ertinya ciri-ciri elektrik pada titik yang diberikan pada suatu sistem elektrik, yang dinilaikan dengan membandingkannya dengan suatu set parameter rujukan teknikal seperti magnitud voltan dan arus, frekuensi atau bentuk gelombang;

“lampu awam” ertinya lampu elektrik yang digunakan untuk menerangi mana-mana lebuh atau tempat awam yang lain;

“lebuh” termasuklah apa-apa laluan, jalan, lorong, rua, medan, lapangan, gang, tempat lalu atau tanah lapang, sama ada jalan tembus atau tidak, yang di atasnya orang awam mempunyai hak lalu-lalang dan juga laluan jalan dan laluan jalan kaki di atas mana-mana jambatan awam;

“lesen” ertinya lesen yang dikeluarkan di bawah seksyen 9 dan termasuklah apa-apa lesen yang dikeluarkan di bawah mana-mana undang-undang lain yang berkuat kuasa sebelum pemasyhuran Akta ini;

“mati”, apabila dipakai bagi apa-apa sistem atau sebahagian daripada sesuatu sistem, ertinya sistem itu tidak hidup atau bertenaga;

“mengasingkan” ertinya mengenal pasti dan memencilkan aktiviti, aset, kos, hasil dan obligasi perkhidmatan Pengendali Sistem atau Pembeli Tunggal daripada pemegang lesen yang disebut masing-masing dalam seksyen 22a dan 22b melalui pemisahan perakaunan, kewangan atau perundangan atau cara lain sebagaimana yang ditentukan oleh Suruhanjaya untuk memastikan pengurusan Pengendali Sistem atau Pembeli Tunggal boleh bertindak secara bebas daripada aktiviti di bawah lesen pemegang lesen dan untuk memudahkan persaingan yang berkesan dan meningkatkan ketelusan dalam pengendalian sistem kuasa;’

“Menteri” ertinya Menteri yang pada masa ini dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi perkara-perkara yang berhubung dengan pembekalan elektrik;
“motor” ertinya motor daripada apa-apa jenis bagi mengubah tenaga elektrik kepada tenaga mekanik;

“meter” ertinya apa-apa perkakas, alat, kelengkapan atau peranti yang digunakan bagi maksud mengukur dan merekodkan jumlah tenaga elektrik atau permintaan maksimum atau faktor kuasa atau mana-mana gabungannya;

“orang diberi kuasa” ertinya orang yang dilantik oleh pihak pengurusan atau pemunya sesuatu pepasangan, atau oleh seorang kontraktor, yang bertindak sebagai ejen untuk dan/atau bagi pihak pengurusan atau pemunya, untuk menjalankan tugas tertentu yang bersampingan dengan penjanakuasaan, penghantaran, pengagihan dan penggunaan elektrik:

Dengan syarat bahawa orang tersebut memiliki kelayakan yang ditetapkan bagi orang yang melaksanakan tugas itu, atau jika tiada kelayakan ditetapkan, adalah kompeten bagi maksud dia diambil kerja dan beban membuktikan kekompetenan terletak pada majikan;

“orang kompeten” ertinya orang yang memegang suatu perakuan kekompetenan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya untuk melaksanakan kerja mengikut sekatan, jika ada, yang dinyatakan dalam perakuan itu;

“pegawai diberi kuasa” ertinya mana-mana pegawai awam atau pegawai Suruhanjaya yang diberi kuasa secara bertulis oleh Menteri bagi maksud Akta ini;


“Pembeli Tunggal” ertinya mana-mana orang atau sesuatu unit, jabatan atau bahagian yang membentuk sebahagian daripada pemegang lesen yang diberi kuasa di bawah subseksyen 22b(1) bertanggungjawab bagi pengurusan pemerolehan elektrik dan perkhidmatan yang berkaitan, yang termasuklah perancangan, penjadualan, pemerolehan dan penyelesaian, dan apa-apa fungsi lain sebagaimana yang ditetapkan;

“pemegang lesen” ertinya orang yang dilesenkan di bawah seksyen 9;

“Pendaftar” ertinya Pendaftar sebagaimana yang ditakrifkan dalam Kanun Tanah Negara [Akta 56 tahun 1965];

“penebat”, apabila digunakan sebagai kata sifat untuk mencirikan apa-apa bahan, ertinya penebat dari sekian saiz, kualiti dan binaan yang, mengikut hal keadaan, dapat memberikan perlindungan yang mencukupi terhadap bahaya;

“Pengendali Sistem” ertinya mana-mana orang atau sesuatu unit, jabatan atau bahagian yang membentuk sebahagian daripada pemegang lesen yang diberi kuasa di bawah subseksyen 22a(1) bertanggungjawab bagi jaminan sistem, perancangan pengendalian, penghantaran unit jana kuasa, pengendalian masa nyata dan pengawalan sistem kuasa dan apa-apa fungsi lain sebagaimana yang ditetapkan;

“Pengerusi” ertinya Pengerusi Suruhanjaya Tenaga yang dilantik oleh Menteri di bawah Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 [Akta 610];

“Suruhanjaya” ertinya Suruhanjaya Tenaga yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Tenaga 2001;

“penggerak utama” ertinya mesin yang membekalkan tenaga mekanik ke jana kuasa;

“pengguna” ertinya orang yang dibekalkan dengan elektrik atau yang premisnya pada masa ini disambungkan bagi maksud pembekalan elektrik oleh pihak berkuasa bekalan atau pemegang lesen;

“pengubahan” ertinya pengubahan voltan daripada voltan rendah kepada voltan yang lebih tinggi atau sebaliknya;

“Pentadbir Tanah Daerah” mempunyai erti yang diberi kepada “Pentadbir Tanah” oleh seksyen 5 Kanun Tanah Negara dan erti “Pemungut” oleh seksyen 4 Ordinan Tanah Sabah [Sabah Cap. 68] dan bagi Negeri Sarawak, “Pengarah” oleh seksyen 2 Kanun Tanah Sarawak [Sarawak Cap. 81];

“penukaran” ertinya penukaran arus ulang alik kepada arus terus atau sebaliknya melalui cara statik atau dinamik;

“pepasangan” ertinya keseluruhan mana-mana loji atau kelengkapan di bawah satu pemunyaan atau, jika pihak pengurusan ditetapkan, orang yang menjaga pihak pengurusan itu, yang direka bentuk bagi pembekalan atau penggunaan elektrik, atau kedua-duanya, mengikut mana-mana yang berkenaan; termasuklah penggerak utama, jika ada, berserta dengan semua loji, bangunan dan tanah yang perlu yang berkaitan dengannya, talian paip, talian bekalan infrastruktur bekalan elektrik, pepasangan elektrik domestik dan bukan domestic dan radas penggunaan, jika ada;

“pepasangan awam” ertinya pepasangan yang dikendalikan oleh pemegang lesen bagi membekalkan elektrik kepada mana-mana orang selain daripada pemegang lesen:

Dengan syarat bahawa pemegang lesen boleh menggunakan elektrik bagi maksudnya sendiri jika penggunaan itu selaras dengan terma lesen;

“pepasangan persendirian” ertinya pepasangan yang dikendalikan oleh pemegang lesen atau pemunya semata-mata bagi membekalkan elektrik kepada dan penggunaannya di atas harta atau premis kepunyaan pemegang lesen atau pemunya itu sendiri, atau, dalam hal seorang pengguna, yang mengambil elektrik daripada pepasangan awam atau pihak berkuasa bekalan, bagi kegunaan hanya di atas harta atau premis kepunyaan pemegang lesen atau pemunya sahaja;

“pihak berkuasa bekalan” ertinya mana-mana pihak berkuasa berkanun yang ditubuhkan oleh Akta Parlimen atau mana-mana undang-undang lain untuk menjanakuasakan dan/atau rnembekalkan elektrik;

“pihak pengurusan” ertinya orang yang pada masa ini ditugaskan menjaga sesuatu pepasangan;

“produk elektrik” ertinya apa-apa kelengkapan, peranti atau perkakas selain kelengkapan elektrik pengguna;

“rangkaian pengagihan elektrik” ertinya sesuatu sistem atau sebahagian daripada sesuatu sistem pada voltan nominal di bawah 66 kilovolt pada talian atau kabel elektrik, pencawang dan kelengkapan dan bangunan yang berkaitan bagi pengagihan elektrik tanpa mengira sama ada loji jana kuasa bersambung dengan sistem itu;

“rangkaian penghantaran elektrik” ertinya sesuatu sistem atau sebahagian daripada sesuatu sistem pada voltan nominal 66 kilovolt dan ke atas pada talian bekalan utama atau kabel, pencawang dan kelengkapan dan bangunan yang berkaitan yang digunakan bagi menyalurkan elektrik—

(a) dari suatu stesen jana kuasa ke suatu pencawang;

(b) dari satu stesen jana kuasa ke stesen jana kuasa yang lain;

(c) dari satu pencawang ke pencawang yang lain;

(d) ke atau dari mana-mana titik saling hubungan; atau

(e) ke pengguna akhir;

“sesalur” ertinya talian bekalan yang menerusinya elektrik dibekalkan atau boleh dibekalkan, sama ada talian itu sedang digunakan atau tidak;

“sistem” ertinya sistem elektrik yang di dalamnya semua konduktor dan kelengkapan disambungkan secara elektrik atau magnet;

“sistem kuasa” ertinya sesuatu sistem gabungan yang terdiri daripada suatu rangkaian penghantaran elektrik, rangkaian pengagihan elektrik dan stesen jana kuasa yang bersambung dengan rangkaian penghantaran elektrik itu dan termasuklah sebahagian daripada sistem itu;

“stesen jana kuasa” ertinya mana-mana stesen bagi penjanakuasaan elektrik, termasuk apa-apa bangunan dan loji yang digunakan bagi maksud itu, serta tapaknya, dan termasuklah tapak yang dicadangkan untuk digunakan bagi suatu stesen jana kuasa, tetapi tidak termasuk mana-mana stesen bagi pengubahan, penukaran, atau pengagihan elektrik;

“talian aerial” ertinya talian bekalan elektrik yang ditempatkan di atas paras bumi dan di tempat terbuka, dan termasuklah talian perkhidmatan;

“talian bekalan” ertinya konduktor atau konduktor-konduktor atau kaedah lain untuk menyampaikan, menghantar atau mengagihkan elektrik, berserta dengan apa-apa selonsong, salutan, penutup, tiub, paip, penebat atau tiang yang mengepungi, mengelilingi atau menopangi konduktor atau kaedah itu atau mana-mana bahagiannya, atau apa-apa bangunan atau kelengkapan yang bersambung dengannya bagi maksud mengubah, menyampai, menghantar atau mengagihkan elektrik;

“talian bekalan utama” ertinya mana-mana talian bekalan voltan tinggi yang atau voltan amat tinggi bagi menghantar elektrik daripada suatu stesen jana kuasa ke stesen jana kuasa yang lain atau ke pencawang dan termasuklah apa-apa bangunan atau bahagian suatu bangunan yang digunakan berkaitan dengan talian bekalan sedemikian;

“tanah Negeri” tidak termasuk tanah rizab dan tanah beri hakmilik;

“tanah rizab” ertinya tanah yang dirizabkan bagi suatu maksud awam, rizab keretapi dan hutan simpan;

“timbang tara” ertinya timbang tara di bawah dan mengikut seksyen 36;


BAHAGIAN III
FUNGSI, TUGAS DAN KUASA SURUHANJAYA

4.   Fungsi dan tugas

Suruhanjaya hendaklah menjalankan fungsi dan tugas seperti yang berikut:

(a) untuk mengeluarkan lesen di bawah seksyen 9 Akta ini;

(b) untuk menjalankan fungsi pengawalseliaan berkenaan dengan perkhidmatan
mengadakan elektrik oleh pemegang lesen termasuk menentukan standard pembekalan dan perkhidmatan, standard prestasi dan standard kemudahan dan perkhidmatan dan penguatkuasaannya;

(c) untuk menggalakkan persaingan dalam penjanakuasaan dan pembekalan
elektrik untuk, antara lainnya, memastikan pembekalan optimum elektrik pada harga yang munasabah;

(d) untuk menjalankan fungsi pengawalseliaan berkenaan dengan kepentingan
pengguna dan penguatkuasaan berkenaan dengan—

(i) harga yang akan dikenakan dan syarat lain bagi bekalan elektrik;

(ii) keberterusan bekalan elektrik;  

(iii) kualiti perkhidmatan bekalan elektrik yang disediakan; dan

(iv) kualiti bekalan elektrik yang termasuklah kebolehpercayaan dan kualiti
      kuasa;”;

(e) untuk memastikan bahawa segala tuntutan yang munasabah untuk elektrik
dipenuhi;

(ea) untuk mengawal selia aktiviti pemegang lesen supaya semua permintaan
yang munasabah bagi elektrik dipenuhi;

(f) untuk memastikan bahawa pemegang lesen dapat membiayai penjalanan
aktiviti yang dibenarkan oleh lesen mereka untuk dijalankan;

(g) untuk menggalakkan dan menggiatkan penjanakuasaan elektrik bagi tujuan
kemajuan ekonomi Malaysia;

(ga) untuk menggalakkan pembangunan dan penyenggaraan sistem yang
selamat dan berkesan bagi penjanakuasaan, penghantaran, pengagihan dan pembekalan elektrik kepada pengguna dan penambahbaikan kehendak keselamatan yang berterusan;

(gb) untuk menguatkuasakan standard bagi pepasangan elektrik dan infrastruktur
bekalan elektrik pemegang lesen, produk elektrik dan kelengkapan elektrik pengguna;”;

(h) untuk mengawal selia lat tempoh dan cara bagaimana apa-apa pepasangan
atau kelengkapan elektrik hendak diperiksa;

(i) untuk mencipta jenis ujian yang akan digunakan dan untuk menetapkan
kelayakan dan pengalaman praktik yang minimum bagi apa-apa maksud
menurut Akta ini;

(j) untuk menyiasat apa-apa kemalangan atau kebakaran yang melibatkan
apa-apa pepasangan elektrik;

(k) untuk mengadakan peruntukan, jika perlu, bagi pendaftaran apa-apa
pepasangan, orang yang memberikan perkhidmatan yang berhubungan dengan penggunaan elektrik dengan cekap, unit pendawaian persendirian, kontraktor elektrik, kontraktor perkhidmatan elektrik, kontraktor pembaikan elektrik, pengilang dan pengimport, pusat atau institusi latihan dan peperiksaan, badan penilaian pematuhan dan mana-mana orang yang kompeten, sebagaimana yang ditetapkan;

(l) untuk menetapkan standard dan spesifikasi minimum dan menaksirkan serta
meluluskan, jika perlu, apa-apa pepasangan atau kelengkapan elektrik;

(la) untuk menggalakkan penggunaan elektrik dengan cekap;

(lb) untuk mengkaji semula atau mengaudit apa-apa maklumat yang dikehendaki
untuk diberikan oleh pemegang lesen kepada Suruhanjaya;

(lc) untuk mengaudit atau menyebabkan supaya diaudit aktiviti mana-mana
pemegang lesen atau mana-mana orang yang ditentukan oleh Suruhanjaya;
dan”.

(m) untuk menjalankan segala aktiviti lain sebagaimana yang ternyata kepada
Suruhanjaya adalah dikehendaki, berfaedah atau mudah bagi maksud menjalankan atau berkaitan dengan pelaksanaan fungsi dan tugasnya di bawah Akta ini.


4A.  Pegawai diberi kuasa

(1) Menteri boleh secara bertulis memberi mana-mana pegawai awam atau pegawai Suruhanjaya kuasa untuk menjalankan kuasa penguatkuasaan di bawah Akta ini.

(2) Mana-mana pegawai itu hendaklah disifatkan sebagai pekhidmat awam mengikut pengertian Kanun Keseksaan [Akta 574].

(3) Dalam menjalankan mana-mana kuasa penguatkuasaan di bawah Akta ini, seseorang pegawai diberi kuasa hendaklah, apabila diminta, mengemukakan kepada orang yang terhadapnya dia bertindak kuasa yang dikeluarkan kepadanya oleh Menteri.”


5.  Kuasa memasuki dengan waran atau selainnya, memeriksa, memeriksa  
     teliti, menyita dsb.

(1) Seseorang pegawai diberi kuasa boleh, bagi maksud menunaikan mana-mana tugasnya atau menjalankan mana-mana fungsinya di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya, atau selainnya bagi apa-apa maksud Akta ini atau mana-mana peraturan, memasuki mana-mana tanah, rumah atau bangunan dengan atau tanpa bekalan elektrik, pada bila-bila masa munasabah, untuk memeriksa dan memeriksa teliti mana-mana bahagian sesuatu pepasangan atau kelengkapan, atau untuk sebab berpatutan yang lain.

(2) Dalam tiap-tiap hal di mana maklumat diberikan atas sumpah kepada mana-mana majistret bahawa terdapat sebab yang munasabah untuk mengesyaki bahawa dalam mana-mana tanah, rumah atau bangunan terdapat apa-apa benda, barang, buku, dokumen, pepasangan atau bahagiannya yang digunakan atau dicadangkan hendak digunakan yang berhubungan dengannya apa-apa kesalahan telah dilakukan di bawah Akta ini, majistret itu hendaklah mengeluarkan suatu waran di bawah tandatangannya yang menurut kuasa waran itu mana-mana pegawai diberi kuasa atau pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor yang dinamakan atau disebut dalam waran itu boleh memasuki tanah, rumah atau bangunan itu pada bila-bila masa yang munasabah pada waktu siang atau malam, dan menggeledah dan menyita atau melakkan mana-mana benda, barang, buku, dokumen, pepasangan atau bahagiannya itu:

Dengan syarat bahawa jika seorang pegawai diberi kuasa atau pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor berpuas hati atas maklumat yang diterima bahawa dia mempunyai alasan yang munasabah bagi mempercayai bahawa atas sebab kelengahan untuk mendapatkan waran geledah, apa-apa benda, barang, buku, dokumen, pepasangan atau bahagiannya yang digunakan untuk melakukan atau yang akan digunakan untuk melakukan suatu kesalahan di bawah Akta ini berkemungkinan dialihkan atau dimusnahkan, dia boleh memasuki tanah, rumah atau bangunan itu tanpa waran dan menyita atau melakkan mana-mana benda, barang, buku, dokumen, pepasangan atau bahagiannya dari dalam tanah, rumah atau bangunan itu.

(3) Seseorang pegawai diberi kuasa atau pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor yang membuat penggeledahan itu boleh menyita apa-apa benda, barang, buku, dokumen, pepasangan atau bahagiannya yang digunakan atau dicadangkan untuk digunakan atau yang boleh digunakan untuk maksud melakukan suatu kesalahan di bawah Akta ini dan jika benda, barang, buku, dokumen, pepasangan atau bahagiannya itu disita, dia hendaklah mengemukakannya di hadapan majistret, dan apabila dikemukakan, majistret hendaklah mengarahkan benda, barang, buku, dokumen, pepasangan atau bahagiannya itu disimpan dalam jagaan pegawai diberi kuasa atau polis bagi maksud apa-apa penyiasatan atau pendakwaan di bawah Akta ini.

(4) Mana-mana pegawai diberi kuasa atau pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor boleh pada menjalankan kuasanya di bawah subseksyen (2) atau (3), jika didapati perlu untuk berbuat demikian—

(a) memecahkan apa-apa pintu luar atau dalam rumah kediaman atau mana-
 mana premis lain dan memasukinya;

(b) dengan menggunakan kekerasan memasuki tempat itu dan tiap-tiap
     bahagiannya;

(c) mengalihkan dengan menggunakan kekerasan apa-apa galangan kepada
 kemasukan, penggeledahan, penyitaan dan pengalihan yang dia diberi  
 kuasa untuk melaksanakan; dan

(d) menahan tiap-tiap orang yang dijumpai di tempat itu sehingga tempat itu
     telah digeledah.

(5) Pegawai diberi kuasa atau pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor yang menyita apa-apa benda, barang, buku, dokumen, pepasangan atau bahagiannya di bawah subseksyen (2) atau (3) hendaklah menyediakan suatu senarai barang-barang yang disita dan dengan serta-merta menghantar serah suatu salinan yang ditandatangani olehnya kepada penduduk, atau ejen atau pekhidmat penduduk itu yang berada di premis itu dan jika premis itu tidak diduduki, pegawai diberi kuasa atau pegawai polis itu hendaklah di mana-mana mungkin menampalkan suatu senarai barang-barang yang disita di premis itu.

(6) Seorang pegawai diberi kuasa hendaklah pada setiap masa membawa suatu kad pengenalan atau lencana rasmi dalam apa-apa bentuk yang ditetapkan, dan tiada seorang pun boleh diwajibkan untuk membenarkan mana-mana orang yang mengaku dirinya sebagai seorang pegawai diberi kuasa memasuki tanah, rumah atau bangunannya kecuali apabila kad pengenalan atau lencana itu dikemukakan.

5A. Kos memegang benda yang disita

Jika apa-apa kelengkapan, alat, bahan, buku, rekod, akaun, dokumen, barang atau benda yang disita di bawah Akta ini atau perundangan subsidiarinya dipegang dalam jagaan Kerajaan atau Suruhanjaya sementara menunggu penyelesaian apa-apa prosiding berkenaan dengan suatu kesalahan di bawah Akta ini atau perundangan subsidiarinya, kos bagi memegang kelengkapan, alat, bahan, buku, rekod, akaun, dokumen, barang atau benda itu dalam jagaan hendaklah, sekiranya mana-mana orang didapati telah melakukan suatu kesalahan, menjadi hutang yang kena dibayar kepada Kerajaan atau Suruhanjaya, mengikut mana-mana yang berkenaan, oleh orang itu dan hendaklah didapatkan dengan sewajarnya.

5B. Pelepasan benda yang disita

(1) Jika apa-apa kelengkapan, alat, bahan, buku, rekod, akaun, dokumen, barang atau benda telah disita di bawah Akta ini, pegawai diberi kuasa yang membuat penyitaan itu boleh, pada bila-bila masa selepas itu, dengan keizinan Pendakwa Raya, melepaskan kelengkapan, alat, bahan, buku, rekod, akaun, dokumen, barang atau benda itu kepada orang yang diputuskan olehnya sebagai berhak secara sah kepada kelengkapan, alat, bahan, buku, rekod, akaun, dokumen, barang atau benda itu jika dia berpuas hati bahawa kelengkapan, alat, bahan, buku, rekod, akaun, dokumen, barang atau benda itu tidak dikehendaki selainnya bagi maksud apa-apa prosiding di bawah Akta ini atau perundangan subsidiarinya, atau bagi maksud apa-apa pendakwaan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain, dan dalam hal ini, pegawai yang membuat penyitaan itu atau Kerajaan, Suruhanjaya atau mana-mana orang yang bertindak bagi pihak Kerajaan atau Suruhanjaya tidak boleh bertanggungan bagi apa-apa prosiding oleh mana-mana orang jika penyitaan dan pelepasan kelengkapan, alat, bahan, buku, rekod, akaun, dokumen, barang atau benda itu telah dibuat dengan suci hati.

(2) Suatu rekod secara bertulis hendaklah dibuat oleh pegawai diberi kuasa yang membuat pelepasan apa-apa benda di bawah subseksyen (1) yang menyatakan secara terperinci hal keadaan dan sebab bagi pelepasan itu dan menghantar salinan rekod itu kepada Pendakwa Raya.”.


6.   Kuasa menyiasat

(1) Suruhanjaya hendaklah mempunyai kuasa menyiasat perlakuan apa-apa kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya.

(2) Suruhanjaya boleh, berhubungan dengan apa-apa penyiasatan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang dilakukan di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya, menjalankan kuasa khas berhubungan dengan penyiasatan polis kecuali bahawa kuasa untuk menangkap tanpa waran yang diberikan oleh Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] bagi mana-mana kesalahan boleh tangkap tidak boleh dijalankan oleh Suruhanjaya.


7.    Dipotong


 8.    Halangan dsb. suatu kesalahan

Mana-mana orang yang—

(a) tidak membenarkan mana-mana pegawai diberi kuasa atau pegawai polis
yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor akses kepada mana-mana tempat;

(b) menyerang, menggalang,, menghalang atau melengahkan mana-mana
pegawai diberi kuasa atau pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor dalam melaksanakan apa-apa kemasukan yang dia berhak melaksanakan di bawah Akta ini, atau dalam penyempurnaan apa-apa tugas yang dikenakan atau kuasa yang diberikan oleh Akta ini;

(c) enggan memberi kepada mana-mana pegawai diberi kuasa atau pegawai
polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor apa-apa maklumat yang berhubungan dengan sesuatu kesalahan atau kesalahan yang disyaki di bawah Akta ini atau apa-apa maklumat lain yang dengan munasabahnya mungkin dikehendaki daripadanya dan yang ada dalam pengetahuannya atau yang dia mempunyai kuasa untuk memberi;

       (ca) enggan untuk memberi mana-mana pegawai Suruhanjaya apa-apa
  maklumat yang dengan munasabahnya mungkin dikehendaki daripadanya   
dan yang ada dalam pengetahuannya atau yang dia mempunyai kuasa
untuk memberikan berhubung dengan apa-apa perkara di bawah fungsi,
tugas dan kuasa Suruhanjaya di bawah seksyen 4; atau”;

(d) dengan disedarinya memberikan maklumat palsu,
adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.


BAHAGIAN IV
PEPASANGAN BERLESEN DAN BERDAFTAR


9.   Lesen dikehendaki bagi penggunaan pepasangan: terma, syarat dan
      kandungan lesen

     (1) Tertakluk kepada apa-apa pengecualian yang diberikan di bawah Akta ini
ditetapkan, tiada seorang pun, selain pihak berkuasa bekalan, boleh—

(a) menggunakan, mengerjakan atau mengendalikan atau membenarkan
     diguna, dikerja atau dikendalikan apa-apa pepasangan; atau

(b) membekalkan elektrik daripada mana-mana pepasangan kepada atau
          bagi kegunaan mana-mana orang lain,

kecuali di bawah dan mengikut terma dan syarat sesuatu lesen sebagaimana yang ditetapkan yang membenarkan dengan nyata pembekalan atau penggunaan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(2) Lesen boleh diberikan oleh Suruhanjaya dengan kelulusan Menteri apabila dibayar apa-apa fi dan atas apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang ternyata dikehendaki atau suai manfaat memandangkan tugas yang dikenakan oleh seksyen 4.

(2A) Suruhanjaya boleh, sama ada notis telah diserahkan atau tidak, mengenakan suatu surcaj bagi pembayaran lewat fi yang kena dibayar oleh seseorang pemegang lesen kepada Suruhanjaya, pada kadar satu peratus sebulan atau sebahagian daripada satu bulan atas fi sedemikian atau pada apa-apa kadar lain sebagaimana yang ditetapkan.

(2b) Walau apa pun subseksyen (2), Suruhanjaya boleh memberikan suatu lesen apabila fi dibayar dan atas apa-apa syarat sebagaimana yang ternyata dikehendaki atau suai manfaat memandangkan tugas yang dikenakan oleh seksyen 4 berkenaan dengan apa-apa pepasangan yang ditetapkan.

(2c) Suruhanjaya boleh, dari semasa ke semasa, mengeluarkan kod, garis panduan atau arahan berkenaan dengan apa-apa pepasangan.”; dan  

(3) Tiada lesen boleh dipindah milik melainkan jika keizinan bertulis Menteri telah diberikan.

(4) Tempoh lesen adalah selama apa-apa tempoh yang diluluskan oleh Suruhanjaya dalam setiap satu hal:

Dengan syarat bahawa tanpa kelulusan nyata daripada Menteri, tiada lesen boleh mempunyai tempoh melebihi dua puluh satu tahun.

(5) Tempoh lamanya apa-apa lesen hendaklah dinyatakan di dalamnya.

(6) Apa-apa lesen bagi suatu pepasangan awam hendaklah menyatakan—

(a) kawasan bekalan;

(b) voltan yang ditentukan dan variasi yang dibenarkan daripadanya;

(c) caj maksimum yang kena dibayar oleh pengguna; dan

(d) apa-apa perkara lain sebagaimana yang difikirkan perlu oleh
     Suruhanjaya.

(7) Suruhanjaya boleh, dengan kelulusan Menteri, pada bila-bila masa—

(a) mengenakan apa-apa terma atau syarat tambahan ke atas lesen,
     termasuk lesen sedia ada; atau

(b) meminda apa-apa terma atau syarat yang dikenakan ke atas lesen itu,
     mengikut tatacara sebagaimana yang boleh ditetapkan.


9A.   Obligasi untuk mengemukakan pelan perniagaan

(1) Suruhanjaya boleh meminta mana-mana pemegang lesen untuk mengemukakan rancangan perniagaan boleh pinda lima tahun, atau apa-apa tempoh lain sebagaimana yang ditentukan oleh Suruhanjaya, yang dikemaskinikan atas asas tahunan atau apa-apa tempoh masa lain sebagaimana yang ditentukan oleh Suruhanjaya mengikut tatacara yang diperuntukkan dalam garis panduan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya.

(2) Mana-mana pemegang lesen yang melanggar seksyen ini melakukan suatu kesalahan.


9B.   Kehendak bagi pelesenan

(1) Walau apa pun mana-mana peruntukan lain Akta ini, jika pada bila-bila masa ternyata pada Suruhanjaya bahawa seorang pemegang lesen tidak mematuhi apa-apa kehendak atau memenuhi apa-apa kewajipan atau obligasinya di bawah Akta ini atau perundangan subsidiarinya atau syarat lesen, Suruhanjaya boleh menghendaki pemegang lesen itu untuk membetulkan ketidakpatuhan itu atau untuk mematuhi kehendak, kewajipan atau obligasi atau syarat lesen itu dalam tempoh yang dinyatakan.

(2) Pemegang lesen yang disebut dalam subseksyen (1) hendaklah mengambil segala langkah yang munasabah untuk mematuhi dan mengemukakan laporan pematuhan berkala tentang langkah yang diambil sehingga memuaskan hati Suruhanjaya.

(3) Mana-mana pemegang lesen yang melanggar seksyen ini melakukan suatu kesalahan.


9C.  Standard prestasi pembekalan dan perkhidmatan oleh pemegang lesen

 (1) Suruhanjaya boleh, dari semasa ke semasa, mengeluarkan kod, garis panduan atau arahan mengenai apa-apa standard prestasi pembekalan dan perkhidmatan untuk dilaksanakan oleh pemegang lesen termasuk tatacara bagi—

(a) memenuhi dengan munasabah kehendak pengguna;

(b) pengendalian aduan dan pertikaian pengguna;

(c) tatacara bagi pampasan pengguna dalam hal pelanggaran standard prestasi
atau pelanggaran mana-mana obligasi pemegang lesen di bawah Akta; dan

(d) perlindungan maklumat pengguna.

(2) Apa-apa tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya menurut seksyen ini berkenaan dengan apa-apa kegagalan oleh mana-mana pemegang lesen untuk memenuhi standard yang disebut dalam subseksyen (1), tidak boleh menjejaskan atau menyentuh apa-apa remedi lain yang mungkin ada berkenaan dengan tindakan atau peninggalan oleh pemegang lesen yang menjadi kegagalan itu di bawah mana-mana undang-undang lain, termasuk Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599].

(3) Suruhanjaya boleh mengarahkan pemegang lesen untuk menyediakan apa-apa maklumat tentang tahap prestasi yang dicapai dan perkhidmatan yang disediakan berkenaan dengan standard yang disebut dalam subseksyen (1) kepada pengguna atau bakal pengguna.

(4) Pemegang lesen hendaklah menyiarkan standard perkhidmatan penggunanya sendiri mengikut kod, garis panduan atau arahan yang disebut dalam subseksyen (1).

(5) Mana-mana pemegang lesen yang melanggar seksyen ini melakukan suatu kesalahan.


9D.   Akaun tahunan yang sepatutnya oleh pemegang lesen

 (1) Pemegang lesen hendaklah menyimpan dan menyenggara akaun aktiviti tahunan yang sepatutnya di bawah lesen yang mengandungi butir-butir yang mencukupi sebagaimana yang dikehendaki mengenai apa-apa hasil, kos, aset, liabiliti, rizab atau apa-apa perkara lain yang berkaitan.

(2) Akaun itu hendaklah juga mengikut apa-apa garis panduan atau arahan sebagaimana yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya, dari semasa ke semasa kepada pemegang lesen dan akaun itu hendaklah dikemukakan kepada Suruhanjaya dengan sewajarnya.

9E.  Perkiraan bagi perolehan elektrik

 Dalam menjalankan fungsinya di bawah perenggan 4(d), apa-apa perkiraan oleh pemegang lesen atau Pembeli Tunggal bagi perolehan elektrik melalui rangkaian penghantaran elektrik, hendaklah tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya.”.


10.   Kuasa untuk memasuki dan memeriksa teliti tanah

 (1) Bilamasa ternyata kepada pemegang lesen bahawa akan menjadi perlu baginya untuk menjalankan kuasa yang diberikan kepadanya oleh Akta ini berkenaan dengan mana-mana tanah selain tanah Negeri bagi maksud membina suatu pepasangan atau sebahagian daripada suatu pepasangan, pemegang lesen atau mana-mana orang diberi kuasa oleh pemegang lesen bagi maksud itu boleh, selepas memberikan notis tidak kurang daripada dua puluh empat jam kepada penduduk tanah itu, jika ada, memasuki tanah itu dan membuat pengukuran dan mengambil aras dan melakukan segala perbuatan lain yang perlu untuk memastikan kesesuaian tanah, setakat yang mungkin tanpa menyebabkan kerosakan atau gangguan.

(2) Tiada apa-apa jua yang terkandung di dalam seksyen ini boleh disifatkan sebagai membenarkan mana-mana orang memotong atau membuang apa-apa tumbuhan atau apa-apa pagar atau binaan lain atau memasuki mana-mana bangunan atau apa-apa kepungan yang dipasang pada mana-mana bangunan.

(3) Dalam hal tanah rizab, notis di bawah subseksyen (1) boleh diberikan kepada pegawai atau mana-mana orang lain yang menjaga tanah rizab itu atau, jika tidak ada mana-mana pegawai atau orang itu, kepada Pentadbir Tanah Daerah.


11.   Kuasa untuk memasuki tanah bagi maksud pembinaan

(1) Tertakluk sebagaimana yang diperuntukkan kemudian daripada ini, bilamasa perlu berbuat demikian bagi maksud memasang apa-apa sistem pengagihan elektrik di bawah Akta ini, pemegang lesen boleh meletakkan, menempatkan atau membawa di atas, di bawah atau melewati mana-mana tanah, selain tanah Negeri, apa-apa tiang dan kelengkapan lain yang perlu atau wajar bagi maksud pepasangan berlesen, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan boleh mengambil apa-apa tindakan lain yang perlu untuk menjadikan pepasangan itu selamat dan cekap, membayar pampasan penuh mengikut seksyen 16 kepada semua orang yang berkepentingan kerana apa-apa gangguan, kerosakan atau ketidakupayaan yang mungkin disebabkan olehnya dan pampasan itu boleh termasuk bayaran tahunan bagi tanah yang digunakan bagi maksud tiang atau kelengkapan lain itu.

(2) Sebelum memasuki mana-mana tanah bagi maksud yang dinyatakan dalam subseksyen (1), pemegang lesen hendaklah memberi notis yang menyatakan, dengan sepenuhnya dan setepatnya yang mungkin, jenis dan takat tindakan yang dicadangkan hendak dilakukan. Notis itu hendaklah pada sebahagian besarnya dalam bentuk yang dinyatakan dalam Jadual Pertama dan Pentadbir Tanah Daerah hendaklah menyatakan tarikh Pihak Berkuasa Negeri akan menyiasat apa-apa bantahan yang mungkin telah dibuat sebagaimana yang diperuntukkan kemudian daripada ini.

(3) Notis yang disebut terdahulu hendaklah diberikan—

(a) dalam hal tanah beri hakmilik, kepada pemunya atau penduduk;

(b) dalam hal tanah rizab, kepada pegawai atau orang lain yang menjaga tanah
rizab itu atau, jika tidak ada mana-mana pegawai atau orang itu, kepada Pentadbir Tanah Daerah,

dan boleh dihantar melalui pos berdaftar atau ditinggalkan di tempat tinggal biasa atau yang akhir sekali diketahui bagi orang yang kepadanya notis itu hendak diberikan atau disampaikan oleh pemegang lesen atau Pentadbir Tanah Daerah atas perbelanjaan pemegang lesen, sama ada mengikut cara yang diperuntukkan terdahulu daripada ini atau mengikut cara yang diperuntukkan bagi penyampaian notis melalui mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan tanah yang berkuat kuasa dalam Negeri di mana tanah itu terletak.

(4) Mana-mana orang yang disebut dalam subseksyen (3) boleh, dalam masa empat belas hari selepas penerimaan notis yang disebut di dalam subseksyen itu, menyerahkan suatu bantahan terhadap tindakan yang dicadangkan oleh pemegang lesen. Bantahan itu boleh dibuat kepada Pentadbir Tanah Daerah, sama ada secara lisan atau bertulis, dan Pentadbir Tanah Daerah hendaklah memberi notis mengenai bantahan itu kepada Pihak Berkuasa Negeri dan kepada pemegang lesen.

(5) Jika tiada bantahan diserahkan dalam masa yang dihadkan bagi maksud itu oleh subseksyen (4), pemegang lesen boleh dengan serta-merta memasuki tanah itu dan melakukan segala atau mana-mana tindakan yang dinyatakan dalam notis yang diberikan di bawah subseksyen (2).

(6) Jika bantahan diserahkan dan tidak ditarik balik sebelum tarikh yang ditentukan bagi pendengarannya, Pentadbir Tanah Daerah hendaklah mengadakan suatu siasatan, dengan memberi semua pihak peluang untuk didengar.

(7) Apabila tamatnya siasatan itu, Pentadbir Tanah Daerah boleh, sama ada tanpa syarat atau tertakluk kepada apa-apa terma, syarat dan ketentuan yang difikirkannya patut, membuat perintah yang membenarkan atau melarang mana-mana tindakan yang disebut da1am notis yang diberi di bawah subseksyen (2). Perintah itu hendaklah pada sebahagian besarnya dalam bentuk yang dinyatakan dalam Jadual Kedua:

Dengan syarat bahawa mana-mana orang yang tidak berpuas hati dengan perintah Pentadbir Tanah Daerah boleh dalam masa dua puluh satu hari selepas perintah itu merayu terhadap perintah sedemikian kepada Pihak Berkuasa Negeri yang kemudiannya boleh mengesahkan, mengetepikan atau mengubah perintah itu atas apa-apa terma, syarat dan ketentuan yang difikirkannya patut.

(8) Pihak Berkuasa Negeri boleh, jika difikirkannya patut, sebagai ganti daripada membuat suatu perintah di bawah subseksyen (7), mengarahkan pengambilan mana-mana tanah atau
bahagian mana-mana tanah yang termasuk dalam notis yang diberikan di bawah subseksyen (2).

(9) Keputusan Pihak Berkuasa Negeri di bawah seksyen ini adalah muktamad.

(10) Walau apa pun mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perkara mengenai tanah, Pendaftar—

(a) apabila dikemukakan kepadanya notis yang dikeluarkan oleh pemegang
lesen di bawah subseksyen (2) berserta dengan pernyataan oleh Pentadbir Tanah Daerah bahawa tiada bantahan telah diserahkan oleh mana-mana orang yang disebut dalam subseksyen (3); atau

(b) apabila dikemukakan kepadanya salinan asal perintah yang dibuat di
bawah subseksyen (7) dan apabila salinan terperaku bagi perintah itu disimpankan dengannya,

hendaklah menyebabkan suatu nota mengenai kewujudan hak di bawah notis atau perintah itu dibuat pada dokumen hakmilik daftaran yang berhubungan dengan tanah yang terjejas oleh notis atau perintah itu, mengikut mana-mana yang berkenaan.


12.  Talian bekalan dan kelengkapan lain di atas tanah Negeri

 (1) Tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Negeri dan atas apa-apa syarat sebagaimana yang disifatkan wajar oleh Pihak Berkuasa Negeri, sesuatu lesen boleh meliputi untuk membenarkan pemegang lesen meletakkan, menempatkan atau membawa, di atas, di bawah atau melewati tanah Negeri, talian bekalan itu dan mendirikan dan menyenggarakan di dalam atau di atas tanah Negeri apa-apa tiang dan kelengkapan lain sebagaimana yang didapati perlu atau patut oleh Suruhanjaya bagi maksud pepasangan berlesen.”.

(2) Segala kelengkapan yang ditempatkan dalam atau atas tanah Negeri yang tidak dialihkan daripadanya dalam masa enam bulan, atau apa-apa tempoh yang lebih lama sebagaimana yang dibenarkan oleh Kerajaan Negeri, selepas habisnya tempoh atau penamatan awal lesen yang di bawah kebenarannya kelengkapan itu ditempatkan sedemikian, hendaklah terletak hak pada dan menjadi harta Kerajaan Negeri yang dalamnya kelengkapan itu terletak.


13.  Penyenggaraan, pembaikan dan peningkatan pepasangan

Bilamasa perlu berbuat demikian bagi maksud menyenggarakan, membaiki atau meningkatkan mana-mana pepasangan berlesen atau mana-mana bahagian daripadanya, pemegang lesen, atau mana-mana orang yang diberi kuasa olehnya bagi maksud itu, boleh pada bila-bila masa yang munasabah memasuki mana-mana tanah yang di atas, di bawah atau melewatinya talian bekalan telah diletakkan, ditempatkan atau dibawa, atau yang di atasnya tiang atau kelengkapan lain telah didirikan, dan boleh menjalankan segala pembaikan yang perlu, dan boleh, dalam menjalankannya, menebang atau mencantas pokok, membuang tumbuhan dan melakukan segala perkara lain yang perlu bagi maksud tersebut, dengan menyebabkan seberapa sedikit kerosakan yang mungkin dan membayar pampasan penuh mengikut seksyen 16 kepada semua orang yang berkepentingan kerana apa-apa kerosakan yang mungkin disebabkan olehnya yang pampasan baginya belum lagi ditaksirkan di bawah seksyen 11.


14.  Pengalihan atau pengubah pindaan talian bekalan, dsb.

(1) Jika talian bekalan telah diletakkan, atau tiang atau kelengkapan didirikan, di atas mana-mana tanah di bawah seksyen 11, dan jika mana-mana orang yang disebut dalam subseksyen 11 (3) berhasrat untuk menggunakan tanah itu mengikut cara yang menjadikannya perlu atau wajar supaya talian, tiang atau kelengkapan itu dialihkan ke bahagian lain tanah itu, atau ke tanah yang arasnya adalah lebih tingi atau lebih rendah, atau diubah pinda bentuknya, dia boleh menghendaki pemegang lesen mengalihkan atau mengubah pinda talian, tiang atau kelengkapan itu dengan sewajarnya.

(2) (a) Jika pemegang lesen tidak mematuhi kehendak itu, orang itu boleh memohon secara bertulis kepada Pihak Berkuasa Negeri yang boleh, menurut budi bicaranya, selepas menyiasat segala fakta hal itu, menolak permohonan itu atau membuat suatu perintah, sama ada secara mutlak atau tertakluk kepada syarat tertentu, bagi pengalihan atau pengubah pindaan talian, tiang atau kelengkapan itu. Perintah itu hendaklah mengadakan peruntukan mengenai pembayaran kos melaksanakan pengalihan atau pengubah pindaan oleh pemegang lesen atau oleh orang yang membuat permohonan, sebagaimana yang Pihak Berkuasa Negeri berpendapat adalah saksama mengikut hal keadaan hal itu.


(b) Pihak Berkuasa Negeri boleh, daripada menyiasat sendiri hal itu di bawah
subseksyen ini, mengarahkan Pentadbir Tanah Daerah untuk membuat apa-apa siasatan bagi pihaknya dan untuk membuat syor kepadanya.

(3) Bilamasa Pihak Berkuasa Negeri telah membuat suatu perintah bagi pengalihan atau pengubah pindaan mana-mana talian bekalan utama, pemegang lesen boleh, daripada mengalihkan atau mengubah pinda talian bekalan itu, memohon kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk mengarahkan pengambilan tanah sedemikian sebagaimana yang dikehendaki bagi maksud talian itu, dan Pihak Berkuasa Negeri boleh mengarahkan pengambilan itu dengan sewajarnya.

(4) Bilamasa Pihak Berkuasa Negeri diberi kuasa oleh seksyen ini untuk mengarahkan pengambilan mana-mana tanah, pepasangan berlesen hendaklah disifatkan sebagai suatu kerja kemudahan awam dan mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan pengambilan tanah yang sedang berkuat kuasa di dalam Negeri di mana tanah itu terletak hendaklah dikuatkuasakan dengan sewajarnya

(5) Bilamasa talian bekalan telah diletakkan, atau tiang atau kelengkapan didirikan, atas tanah Negeri oleh pemegang lesen dan tanah itu kemudiannya diberi hakmilik kepada mana-mana orang, pemunya atau penduduk tanah itu boleh, melainkan jika terma pemberimilikan itu secara nyata memperuntukkan selainnya, menghendaki pengalihan talian bekalan itu ke bahagian lain tanah itu, atau ke tanah yang arasnya adalah lebih tinggi atau lebih rendah, atau pengubah pindaan talian, tiang atau kelengkapan itu, dan subseksyen (1) hingga (4) hendaklah terpakai bagi apa-apa kehendak sedemikian:

Dengan syarat bahawa kos melaksanakan pengalihan atau pengubah pindaan itu hendaklah dibayar oleh orang yang berkehendakkan pengalihan atau pengubah pindaan itu.


15.   Kecualian bagi perjanjian izin lalu

 (1) Tiada apa-apa jua dalam seksyen 11 atau seksyen 14 boleh—

(a) menyentuh hak pemegang lesen untuk membuat suatu perjanjian, yang
umumnya dikenali sebagai perjanjian izin lalu, dengan pemunya atau penduduk mana-mana tanah bagi maksud membawa talian bekalan merintangi tanah itu; atau


(b) menyentuh apa-apa perjanjian izin lalu sedemikian yang ada pada
     permulaan kuat kuasa Akta ini.

(2) Walau apa pun mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan tanah, Pendaftar, apabila dikemukakan kepadanya salinan asal dan disimpan dengannya salinan terperaku bagi apa-apa perjanjian sedemikian yang disebut dalam subseksyen (1), hendaklah menyebabkan suatu nota mengenai kewujudan perjanjian izin lalu itu dibuat pada dokumen hakmilik daftaran yang berhubungan dengan tanah yang terlibat dengan perjanjian izin lalu itu.

(3) Jika suatu perjanjian izin lalu berhubungan dengan tanah yang adalah suatu tanah pegangan yang termasuk dalam Daftar Interim—

(a) subseksyen (2) hendaklah terpakai seolah-olah “Pendaftar” dan “dokumen
hakmilik daftaran” masing-masingnya telah digantikan dengan “Pesuruhjaya” dan “folio berkenaan Daftar Interim”; dan

(b) apabila dokumen hakmilik tetap dikeluarkan bagi tanah itu di bawah
     seksyen 39 Akta Kanun Tanah Negara (Hakmilik Pulau Pinang dan
     Melaka) 1963 [Akta 518], apa-apa nota yang dibuat menurut subseksyen
     itu sebagaimana yang diubah oleh perenggan (a) hendaklah (jika ia masih  
   berkuat kuasa sebelum sahaja pengeluaran dokumen itu) dicatatkan oleh  
     Pesuruhjaya pada dokumen hakmilik daftaran dan hendaklah terus
     berkuat kuasa seolah-olah ia telah dicatatkan di bawah subseksyen itu.

(4) Selagi masih terdapat suatu nota yang dibuat menurut subseksyen (2) atau (3) pada dokumen hakmilik daftaran atau folio berkenaan Daftar Interim, segala urus niaga berkenaan dengan tanah yang dimaksudkan oleh nota itu hendaklah disifatkan tertakluk kepada hak pemegang lesen di bawah dan menurut kuasa perjanjian izin lalu yang berkenaan dengannya nota itu telah dibuat.

(5) Jika nota atau pendaftaran suatu perjanjian izin lalu yang dibuat sebelum l Januari 1966 menurut subseksyen (2) atau (3) sebagaimana yang berkuat kuasa pada masa itu masih berkuat kuasa sebelum tarikh itu, maka, bagi maksud subseksyen (4)—

(a) ia hendaklah dikira sebagai nota yang dibuat menurut subseksyen (2);
     atau

      (b) jika ia berhubungan dengan tanah yang termasuk sebagai suatu tanah
 pegangan dalam Daftar Interim, ia hendaklah dicatatkan pada folio
 berkenaan Daftar Interim dan hendaklah dikira sebagai nota yang dibuat
 menurut subseksyen (3).

(6) Dalam seksyen ini—

“Pesuruhjaya” dan “Daftar Interim” masing-masingnya mempunyai erti yang diberi kepadanya oleh Akta Kanun Tanah Negara (Hakmilik Pulau Pinang dan Melaka) 1963.







16.   Pampasan

           (1) Amaun pampasan, jika ada, yang kena dibayar di bawah seksyen 11 atau 13 hendaklah ditaksirkan oleh Pentadbir Tanah Daerah selepas apa-apa siasatan sebagaimana yang difikirkannya mencukupi. Taksiran itu hendaklah pada sebahagian besarnya mengikut bentuk yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga:
Dengan syarat selanjutnya bahawa tiada pampasan kena dibayar oleh pemegang lesen berkenaan dengan apa-apa pokok dalam jarak lima puluh kaki dari garis tengah sesuatu jalan yang dibina atau disenggarakan oleh Kerajaan Negeri atau oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan melainkan jika dibuktikan bahawa pokok itu telah sedia ada sebelum pembinaan jalan itu.

(2) Mana-mana orang yang terkilan dengan taksiran Pentadbir Tanah Daerah boleh dalam masa dua puluh satu hari selepas taksiran itu merayu kepada Pihak Berkuasa Negeri yang keputusannya adalah muktamad.


17.   Pengurangan atau pemberhentian bekalan: liabiliti

        (1) Mana-mana pemegang lesen boleh mengurangkan, sebagaimana yang difikirkannya patut, kuantiti elektrik yang dibekalkan kepada mana-mana pengguna jika disebabkan oleh apa-apa hal keadaan yang di luar jangkaan elektrik yang dijanakuasakan tidak mencukupi untuk membolehkan kuantiti sepenuhnya dibekalkan dengan mudah.

(2) Jika kuantiti elektrik telah dikurangkan seperti yang disebut terdahulu—

(a) tiada liabiliti boleh dilakukan oleh pemegang lesen berkenaan dengan
     apa-apa kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh pengurangan itu;
       dan

(b) dalam hal-hal yang wajar, suatu potongan pada caj bagi bekalan elektrik
     hendaklah dibuat berkadaran dengan pengurangan yang dibuat.

(3) Mana-mana pemegang lesen tidak bertanggungan bagi apa-apa kerosakan kepada mana-mana orang atau apa-apa harta atau bagi apa-apa pemberhentian bekalan elektrik yang mungkin disebabkan oleh kemalangan yang tidak dapat dielakkan, rosak rosot biasa atau beban berlebihan diakibatkan oleh sambungan kelengkapan yang tidak dibenarkan, atau disebabkan oleh kehendak munasabah sistem itu, atau disebabkan oleh kecacatan pada mana-mana pepasangan yang tidak disediakan oleh pemegang lesen, tetapi hanya akan bertanggungan apabila kerosakan atau pemberhentian itu jelas kelihatan sebagai telah diakibatkan oleh kecuaian di pihak orang yang diambil kerja oleh pemegang lesen, ejen atau pekhidmatnya, mengikut mana-mana yang berkenaan, atau diakibatkan oleh pembinaan tidak sempurna pepasangan itu oleh pemegang lesen.


18.  Cagaran: penggantungan dan pembatalan lesen

       (1) Sebelum mengeluarkan apa-apa lesen, Suruhanjaya boleh menghendaki apa-apa cagaran sebagaimana yang dinyatakan oleh Suruhanjaya diberikan bagi pematuhan yang wajar akan terma dan syarat lesen dan Akta ini.

(2) Suatu lesen boleh pada bi1a-bi1a masa digantung atau dibatalkan oleh Suruhanjaya atas pelanggaran mana-mana syarat lesen atau keingkaran membayar apa-apa wang yang terakru kena dibayar di bawahnya, atau jika pemegang lesen berhenti mengerjakan atau mengendalikan pepasangan yang berkenaan dengannya lesen itu telah diberi:

Dengan syarat bahawa, jika lesen telah digantung atau dibatalkan atas alasan bahawa pemegang lesen telah berhenti mengerjakan atau mengendalikan sesuatu pepasangan, pemegang lesen boleh, jika dia berpendapat bahawa dia telah menanggung atau akan menanggung kesusahan tidak berpatutan disebabkan oleh penggantungan atau pembatalan itu, merayu kepada Menteri terhadap penggantungan atau pembatalan itu, dan keputusan Menteri mengenai rayuan itu adalah muktamad.

(3) Pemegang lesen tidak berhak kepada pampasan kerana apa-apa kerugian yang disebabkan kepadanya oleh penggantungan atau pembatalan lesen di bawah seksyen ini.

(4) Apabila tamatnya sesuatu lesen, pemegang lesen hendaklah mengalihkan pepasangan dan kelengkapannya dalam masa tiga bulan dari tarikh penamatan itu, yang kegagalannya hendaklah menjadikan pemegang lesen bertanggungan bagi segala apa jua pun kos yang dilakukan dalam mengalihkannya dan kos itu boleh didapatkan kembali daripada cagaran yang didepositkan (jika ada) di bawah subseksyen (1).


19.  Sekatan penggunaan untuk maksud yang dinyatakan

Seorang pemegang lesen yang, melalui syarat-syarat lesennya, disekat untuk menggunakan atau membekalkan elektrik bagi maksud yang dinyatakan sahaja, tidak boleh menggunakan atau membekalkan elektrik bagi apa-apa maksud selain maksud yang dinyatakan sedemikian.


20.  Pengecualian kelengkapan daripada distres dan penahanan

Apabila apa-apa kelengkapan elektrik kepunyaan seorang pemegang lesen telah ditempatkan dalam atau di premis yang tidak dipunyai atau diduduki oleh pemegang lesen bagi maksud pembekalan atau penyukatan elektrik, kelengkapan itu tidak boleh dikenakan distres ataupun diambil sebagai pelaksanaan di bawah apa-apa proses mahkamah atau dalam apa-apa prosiding kebankrapan atau ketidaksolvenan terhadap mana-mana orang.


21.  Pendaftaran pepasangan

“(1) Sebelum siapnya sesuatu pepasangan baru, selain pepasangan yang dipunyai oleh pihak berkuasa bekalan atau pepasangan yang dikendalikan atau dipunyai oleh pemegang lesen, pemunya pepasangan hendaklah mengemukakan, dengan pendua, kepada Suruhanjaya, suatu permohonan bagi pendaftaran dalam bentuk yang ditetapkan.

(1A) Suruhanjaya hendaklah menyebabkan pemeriksaan dan ujian dibuat dalam tempoh yang ditetapkan dan, jika pepasangan itu memuaskan kehendak Akta ini, hendaklah mengeluarkan atau menyebabkan supaya dikeluarkan Perakuan Pendaftaran dalam bentuk yang ditetapkan.”; dan

Dengan syarat bahawa pada bila-bila masa dari tarikh permulaan kuat kuasa Akta ini sehingga tarikh yang ditentukan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta, adalah sah bagi Suruhanjaya menurut budi bicaranya tanpa menyebabkan apa-apa pemeriksaan atau ujian dibuat untuk mengeluarkan berkenaan dengan mana-mana pepasangan sedemikian suatu Perakuan Pendaftaran sementara yang sah selama apa-apa tempoh dan tertakluk kepada apa-apa syarat sebagaimana yang diendorskan padanya dan apa-apa sebutan dalam Akta ini mengenai suatu Perakuan Pendaftaran hendaklah, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain, disifatkan telah berkuat kuasa dari tarikh yang diendorskan padanya oleh Suruhanjaya pada masa mengeluarkannya. Apa-apa Perakuan Pendaftaran sementara sedemikian boleh dibatalkan atau dikanselkan oleh Suruhanjaya pada bila-bila masa menurut budi bicaranya.

(2) Tiada seorang pun boleh memiliki atau mengendalikan sesuatu pepasangan, melainkan jika pepasangan selain suatu pepasangan yang dikecualikan di bawah subseksyen (1) itu didaftarkan pada suatu Perakuan Pendaftaran yang sah.

(3) Perakuan Pendaftaran hendaklah diserahkan balik oleh pemunya atau pemegang lesen kepada Suruhanjaya untuk dikanselkan jika pepasangan itu tidak dikehendaki untuk digunakan lagi. Selepas itu, jika pemunya atau pemegang lesen ingin mengendalikan pepasangan itu semula, pepasangan tersebut hendaklah dikira dalam segala aspek seolah-olah ia suatu pepasangan baru.

(4) Suatu Perakuan Pendaftaran boleh dikanselkan mengikut peraturan-peraturan yang dibuat di bawah seksyen 53.

(5) Perakuan Pendaftaran tidak boleh dipindahmilikkan tanpa kebenaran Suruhanjaya.

22.   Pemeriksaan berkala pepasangan

   (1) Tertakluk kepada apa-apa pengecualian yang diberikan di bawah Akta ini, mana-mana orang yang bercadang untuk membina, memperbesarkan atau mengubah pinda apa-apa pepasangan hendaklah memberi notis mengenai cadangan pembinaan, pembesaran atau pengubah pindaan itu kepada Suruhanjaya. Orang itu atau seseorang yang diberi kuasa olehnya hendaklah mengemukakan pelan dan mendapatkan kelulusan terdahulu daripada Suruhanjaya yang boleh memeriksa secara berkala pepasangan itu.

(2) Sebagai tambahan kepada pemeriksaan berkala semasa pembinaan, pembesaran atau pengubah pindaan dan pemeriksaan terakhir apabila siap, semua pepasangan, semasa dikendalikan, hendaklah tertakluk kepada apa-apa pemeriksaan berkala sebagaimana yang ditetapkan.

(3) Pihak pengurusan atau orang yang menjaga mana-mana pepasangan atau pembinaan, pembesaran atau pengubah pindaan mana-mana pepasangan hendaklah memberi kemudahan dengan sepenuhnya bagi pemeriksaan semasa waktu bekerja.


22A.  Pengendali Sistem

 (1) Menteri boleh, atas syor Suruhanjaya, memberi kuasa atau membatalkan pemberian kuasa mana-mana orang atau sesuatu unit, jabatan atau bahagian yang menjadi sebahagian daripada pemegang lesen untuk menjadi Pengendali Sistem melalui perintah yang disiarkan dalam Warta.

(2) Pengendali Sistem hendaklah mematuhi apa-apa peraturan, kod, garis panduan atau arahan berkaitan dengan fungsinya sebagaimana yang dikeluarkan oleh Menteri atau Suruhanjaya, mengikut mana-mana yang berkenaan, di bawah Akta ini.

(3) Pengendali Sistem, semasa menunaikan fungsinya di bawah Akta ini, hendaklah memastikan kelakuan tidak berdiskriminasi dan pengendalian optimum sistem kuasa itu setakat yang ia tidak menjejaskan kebolehpercayaan, keterjaminan dan keselamatan sistem kuasa itu.

(4) Suruhanjaya boleh, dari semasa ke semasa, mengeluarkan kod, garis panduan atau arahan untuk mengasingkan Pengendali Sistem daripada aktiviti di bawah lesen pemegang lesen itu yang tidak berkaitan dengan fungsinya sebagai Pengendali Sistem.


22B.  Pembeli Tunggal

(1) Menteri boleh, atas syor Suruhanjaya, memberi kuasa atau membatalkan pemberian kuasa mana-mana orang atau sesuatu unit, jabatan atau bahagian yang menjadi sebahagian daripada pemegang lesen untuk menjadi Pembeli Tunggal melalui perintah yang disiarkan dalam Warta.

(2) Pembeli Tunggal hendaklah mematuhi apa-apa peraturan, kod, garis panduan atau arahan berkaitan dengan fungsinya sebagaimana yang dikeluarkan oleh Menteri atau Suruhanjaya, mengikut mana-mana yang berkenaan, di bawah Akta ini.
(3) Pembeli Tunggal, semasa menunaikan fungsinya di bawah Akta ini, hendaklah memastikan kelakuan tidak berdiskriminasi dan pengendalian optimum sistem kuasa itu setakat yang ia tidak menjejaskan kebolehpercayaan, keterjaminan dan keselamatan sistem kuasa itu.

(4) Suruhanjaya boleh, dari semasa ke semasa, mengeluarkan kod, garis panduan atau arahan untuk mengasingkan Pembeli Tunggal daripada aktiviti di bawah lesen pemegang lesen itu yang tidak berkaitan dengan fungsinya sebagai Pembeli Tunggal.”


BAHAGIAN V
KAWALAN KOMPETEN


23.  Orang yang menjaga

       (1) Tiada pepasangan atau loji atau kelengkapan elektrik selain yang dipunyai atau diuruskan oleh pihak berkuasa bekalan boleh dikerjakan atau dikendalikan kecuali oleh atau di bawah kawalan orang yang memiliki apa-apa kelayakan dan memegang apa-apa perakuan sebagaimana yang ditetapkan, dan tiada seorang pun yang tidak memiliki kelayakan atau memegang perakuan seperti yang disebut terdahulu boleh menjaga apa-apa pepasangan atau boleh mengawal pengendalian apa-apa loji atau kelengkapan elektrik.

(2) Mana-mana orang yang melanggar seksyen ini adalah me1akukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit dan, jika pelanggaran itu diteruskan, dikenakan denda tidak melebihi satu ribu ringgit bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari selama pelanggaran itu diteruskan selepas sabitan.


BAHAGIAN VA
PENGGUNAAN ELEKTRIK DENGAN CEKAP


23A.  Menteri hendaklah menentukan standard, dll.

 Menteri boleh, dari semasa ke semasa, menetapkan standard, spesifikasi, amalan dan langkah yang hendaklah diterima dan diamalkan dan apa-apa perkara lain berkenaan dengan penggunaan elektrik dengan cekap.


23B.  Pepasangan hendaklah memenuhi kehendak

 Tiada seorang pun boleh menggunakan atau mengendalikan mana-mana pepasangan melainkan jika pepasangan itu memenuhi kehendak sebagaimana yang ditetapkan berkenaan dengan penggunaan elektrik dengan cekap.


23C.  Kelengkapan hendaklah memenuhi kehendak

          Tiada seorang pun boleh mengilang, mengimport, menjual atau menawarkan untuk menjual atau memajakkan mana-mana kelengkapan melainkan jika kelengkapan itu memenuhi kehendak sebagaimana yang ditetapkan berkenaan dengan penggunaan elektrik dengan cekap.


23d.  Pendaftaran orang yang memberikan perkhidmatan yang berhubungan
         dengan penggunaan elektrik dengan cekap

Tiada seorang pun boleh memberikan apa-apa perkhidmatan yang berhubungan dengan penggunaan elektrik dengan cekap melainkan berdaftar di bawah Akta ini.”.


BAHAGIAN VI
PEMBEKALAN OLEH PEMEGANG LESEN


24.   Kewajipan membekal apabila diminta

 (1) Tertakluk kepada peruntukan yang berikut dalam Bahagian ini dan mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya, pemegang lesen hendaklah apabila dikehendaki berbuat demikian oleh pemunya atau penduduk mana-mana premis—

(a) memberi bekalan elektrik kepada premis itu; dan

(b) setakat yang perlu bagi maksud itu, mengadakan talian bekalan atau apa-
 apa loji atau kelengkapan elektrik.

(2) Jika mana-mana orang menghendaki pembekalan elektrik di bawah subseksyen (1), dia hendaklah memberi suatu notis kepada pemegang lesen yang menyatakan—

(a) premis yang berkenaan dengannya bekalan itu dikehendaki;

(b) hari bila bekalan itu dikehendaki dimulakan;
(c) kuasa maksimum yang dikehendaki pada bila-bila masa; dan

(d) tempoh minimum yang selamanya bekalan dikehendaki diberikan.

(3) Jika pemegang lesen menerima daripada mana-mana orang suatu notis di bawah subseksyen (2) yang menghendakinya memberi bekalan elektrik kepada mana-mana premis dan—

(a) dia tidak pernah sebelum ini memberikan bekalan elektrik pada premis itu;

(b) pemberian bekalan itu menghendaki pengadaan talian bekalan atau loji
     atau kelengkapan elektrik; atau

(c) hal keadaan lain wujud yang membuatkannya perlu atau suai manfaat
 baginya berbuat demikian, pemegang lesen hendaklah, dengan seberapa   
 segera yang praktik selepas menerima notis itu, memberi kepada orang
 itu suatu notis di bawah subseksyen (4).


(4) Suatu notis di bawah subseksyen ini hendaklah—

(a) menyatakan takat yang cadangan yang dinyatakan dalam notis di bawah
subseksyen (2) boleh disetuju terima oleh pemegang lesen dan  menyatakan apa-apa cadangan balas yang dibuat oleh pemegang lesen;

(b) menyatakan sama ada harga yang hendak dikenakan oleh pemegang
lesen akan ditentukan melalui suatu tarif di bawah subseksyen 26(1), atau  melalui suatu perjanjian khas di bawah subseksyen 29(1) dan menyatakan tarif atau terma perjanjian itu yang dicadangkan;

(c) menyatakan apa-apa pembayaran yang akan dikehendaki supaya dibuat
     oleh orang itu di bawah subseksyen 27(1); dan

(d) menyatakan apa-apa cagaran yang akan dikehendaki diberi oleh orang itu
      di bawah seksyen 28.

(5) Dalam seksyen ini dan dalam seksyen 25 hingga 29 Bahagian ini—

(a) apa-apa sebutan mengenai pemberian bekalan elektrik termasuklah  
     sebutan mengenai penerusan pemberian bekalan sedemikian;

(b) apa-apa sebutan mengenai menghendaki bekalan elektrik termasuklah
     sebutan mengenai menghendaki bekalan sedemikian supaya terus
     diberikan; dan

(c) apa-apa sebutan mengenai pengadaan talian bekalan atau suatu barang
     daripada kelengkapan atau elektrik adalah sebutan mengenai pengadaan
     talian atau barang sedemikian sama ada melalui pemasangan talian atau
     barang yang baru atau melalui pengubahsuaian talian atau barang yang
     sedia ada.

(6) Mana-mana orang yang dengan menyalahi undang-undang—

(a) menghalang, mencegah atau menggalang pembekalan elektrik daripada
     diberikan oleh pemegang lesen kepada pengguna;

(b) menghalang, mencegah atau menggalang pembekalan elektrik kepada
     mana-mana pengguna daripada dipotong oleh pemegang lesen mengikut
     Akta ini; atau

(c) menyebabkan pembekalan elektrik kepada mana-mana pengguna
     dipotong,

melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”.


25.   Kekecualian kepada kewajipan membekalkan elektrik

        Tiada apa-apa jua dalam subseksyen 24(1) boleh dikira sebagai menghendaki pemegang lesen memberikan bekalan elektrik pada mana-mana premis jika—

(a) (i) bekalan elektrik telah pun diberikan pada premis itu oleh pemegang
          lesen yang lain; dan

 (ii) bekalan sedemikian diberi sama ada keseluruhannya atau
      sebahagiannya menerusi talian bekalan dan kelengkapan atau loji
      elektrik kepunyaan pemegang lesen;

(aa) premis itu, iaitu suatu premis komersial atau perindustrian—

      (i) terletak di atas tanah tanpa mendapat keizinan pemilik tanah;

     (ii) tidak diluluskan menurut atau melanggar peruntukan Akta Kerajaan
          Tempatan 1976 [Akta 171] dan Akta Perancangan Bandar dan Desa
          1976 [Akta 172]; atau

    (iii) bertentangan dengan mana-mana undang-undang bertulis yang lain;
          Dan

 (b) dia terhalang daripada melakukan sedemikian oleh kerosakan atau
      kegagalan apa-apa infrastruktur bekalan elektrik, sistem elektrik,
      kelengkapan atau pepasangan yang di luar kawalannya, atau akibat   
      daripada kebakaran, banjir, tanah runtuh, letupan, kemalangan,   
      kekacauan perindustrian di peringkat negara, darurat, rusuhan,  
      kekacauan awam atau peperangan, atau apa-apa kejadian serupa yang   
      lain yang bukan dalam kawalan pemegang lesen.”

(c) hal keadaan wujud yang, disebabkan oleh apa yang dilakukannya
sedemikian, akan atau boleh melibatkannya melanggar apa-apa peraturan di bawah Akta ini; atau

(d) tidak munasabah mengikut hal keadaan untuknya dikehendaki berbuat
     demikian:

Dengan syarat bahawa perenggan ini tidak terpakai berhubungan dengan bekalan elektrik yang sedang diberikan pada mana-mana premis melainkan jika pemegang lesen telah memberi kepada penduduk atau pemunya, jika premis tidak diduduki, suatu notis tidak kurang daripada tujuh hari kerja mengenai cadangannya memberhentikan bekalan elektrik.

26.   Kuasa untuk menetapkan tarif dan caj
  
        (1) Suruhanjaya boleh menentukan tarif dan caj untuk dilevikan, dengan kelulusan Menteri, oleh seseorang pemegang lesen.

(2) Suruhanjaya boleh, dari semasa ke semasa, mengeluarkan garis panduan mengenai tarif dan caj termasuk—

(a) perkaedahan, prinsip, kategori dan reka bentuk tarif dan caj;

(b) tempoh bagi pengenaan tarif dan caj dan bagi kajian semula tarif dan caj;
     dan

(c) pengemukaan apa-apa maklumat sebagaimana yang dikehendaki dan
     difikirkan perlu oleh Suruhanjaya.

(3) Pemegang lesen hendaklah mengemukakan suatu cadangan mengenai tarif dan caj kepada Suruhanjaya mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya di bawah subseksyen (2).
(4) Tarif dan caj yang diluluskan hendaklah disiarkan oleh pemegang lesen mengikut apa-apa cara sebagaimana yang Suruhanjaya berpendapat dapat memastikan publisiti yang mencukupi bagi tarif itu.

(5) Tarif dan caj yang diluluskan di bawah subseksyen (1) boleh termasuk tetapi tidak terhad kepada—

(a) suatu caj tetap sebagai tambahan kepada caj bagi elektrik yang
     sebenarnya dibekalkan;

(b) suatu caj berkenaan dengan ketersediaan bekalan elektrik dan caj itu
     boleh berubah mengikut takat pembekalan;

(c) suatu caj sewa atau caj lain berkenaan dengan mana-mana meter elektrik
     atau loji atau kelengkapan elektrik yang disediakan oleh pemegang lesen;

(d) suatu kadar atau kuantum diskaun atau premium daripada tarif yang
     diluluskan berkenaan dengan jenis pengguna tertentu atau maksud awam
     sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri; dan

(e) suatu kadar atau kuantum bayaran, caj atau levi bagi apa-apa jumlah
      wang menurut mana-mana undang-undang bertulis yang lain atau mana-  
      mana garis panduan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya.

(6) Dalam melevikan tarif dan caj menurut subseksyen (1) dan dalam membuat perjanjian khas di bawah seksyen 29, seseorang pemegang lesen tidak boleh menunjukkan keutamaan tidak wajar atau diskriminasi di kalangan pengguna atau orang yang berada di tempat yang sama dengan mengambil kira tempat dan masa pembekalan, kuantiti elektrik yang dibekalkan, beban pengguna dan faktor kuasa, dan maksud yang baginya bekalan itu diambil.


26A.  Pemegang lesen boleh mengenakan surcaj

Walau apa pun mana-mana peruntukan lain dalam Akta ini, seseorang pemegang lesen boleh mengenakan surcaj tertakluk kepada syarat dan pada kadar sebagaimana yang ditetapkan bagi pembayaran lewat wang yang kena dibayar oleh seseorang pengguna kepada pemegang lesen itu berkenaan dengan elektrik yang dibekalkan oleh pemegang lesen itu.


27.   Kuasa mendapatkan kembali perbelanjaan

(1) Jika apa-apa talian bekalan atau loji atau kelengkapan elektrik diadakan oleh pemegang lesen menurut subseksyen 24(1), pemegang lesen boleh menghendaki apa-apa perbelanjaan yang dilakukan dengan munasabah sebagaimana yang ditentukan oleh Suruhanjaya dibayar oleh orang yang menghendaki bekalan elektrik pada apa-apa takat yang munasabah dengan mengambil kira hal keadaan.

(2) Perbelanjaan yang dilakukan dengan munasabah dalam mengadakan apa-apa talian bekalan atau loji atau kelengkapan elektrik di bawah subseksyen (1) termasuklah nilai dipermodalkan bagi apa-apa perbelanjaan yang mungkin dilakukan dalam menyenggarakannya, jika perbelanjaan itu tidak boleh didapatkan kembali oleh pemegang lesen sebagai sebahagian daripada tarif yang dilevikan olehnya bagi bekalan itu.


28.   Kuasa menghendaki cagaran

(1) Seorang pemegang lesen boleh menghendaki mana-mana orang yang menghendaki bekalan elektrik menurut subseksyen 24(1) untuk memberi kepadanya cagaran yang munasabah bagi semua wang yang menjadi kena dibayar kepadanya—

(a) berkenaan dengan bekalan elektrik; atau

(b) jika apa-apa talian bekalan atau loji atau kelengkapan elektrik perlu
  diadakan di bawah subseksyen yang sama berkenaan dengan pengadaan  
  kemudahan sedemikian, dan jika orang itu gagal memberi apa-apa cagaran
  sedemikian, pemegang lesen boleh, jika difikirkannya patut, menolak untuk
  memberikan bekalan atau mengadakan talian bekalan atau loji atau
  kelengkapan elektrik sehinggalah cagaran telah diberi.

(2) Jika orang itu belum memberi cagaran dalam subseksyen (1) atau cagaran yang diberi oleh orang itu menjadi tidak mencukupi, pemegang lesen boleh melalui notis menghendaki orang itu, dalam masa tujuh hari selepas penyampaian notis, memberi kepadanya cagaran yang munasabah bagi pembayaran semua wang yang kena dibayar kepadanya berkenaan dengan bekalan itu dan jika orang itu gagal memberikan cagaran sedemikian, pemegang lesen boleh, jika difikirkannya patut, memberhentikan bekalan elektrik sehinggalah cagaran diberi.


28A.   Pemulangan cagaran dengan bunga

Walau apa pun mana-mana peruntukan lain dalam Akta ini, seseorang pemegang lesen hendaklah membayar kepada seseorang tertakluk kepada syarat dan pada kadar sebagaimana yang ditetapkan sejumlah wang yang bersamaan dengan bunga tahunan atas cagaran yang diberikan di bawah seksyen 28.




28B.   Perjanjian pembekalan dengan pengguna

  (1) Seseorang yang memohon pembekalan elektrik daripada seseorang pemegang lesen selepas tarikh permulaan kuat kuasa Akta ini hendaklah membuat suatu perjanjian dengan pemegang lesen itu bagi pembekalan elektrik atas terma dan syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam perjanjian itu sebelum elektrik dibekalkan.

(2) Suatu perjanjian yang disebut dalam subseksyen (1) hendaklah dalam bentuk dan dengan kandungan sebagaimana yang diluluskan oleh Suruhanjaya.


29.    Perjanjian khas mengenai bekalan

(1) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam seksyen 24 hingga 28, seseorang atau seseorang pemegang lesen yang menghendaki bekalan elektrik menurut subseksyen 24(1) boleh membuat suatu perjanjian khas dengan pemegang lesen bagi bekalan itu atas apa-apa terma sebagaimana yang dinyatakan dalam perjanjian.

(2) Jika apa-apa perjanjian yang dibuat menurut subseksyen (1) masih berkuat kuasa, hak dan liabiliti pihak-pihak kepada perjanjian itu hendaklah ditentukan oleh perjanjian dan tidak melalui peruntukan seksyen 24 hingga 28.
(3) Walau apa pun peruntukan subseksyen (2), subseksyen 24(2) hendaklah, walau bagaimanapun, terpakai bagi maksud menyatakan hari yang bekalan elektrik itu dikehendaki dimulakan dan hari yang perjanjian sedemikian berhenti berkuat kuasa.

(4) Apa-apa perjanjian yang dibuat antara pemegang lesen di bawah subseksyen (1) hendaklah diluluskan oleh Suruhanjaya.


30.   Penentuan pertikaian

 (1) Sesuatu pertikaian antara dua orang atau lebih berkenaan dengan apa-apa perkara di bawah seksyen 9e, 17, 24 hingga 29 dan 32 hendaklah terlebih dahulu cuba diselesaikan melalui perundingan antara pihak-pihak kepada pertikaian itu.

(2) Jika pihak-pihak kepada pertikaian itu tidak dapat atau selainnya tidak mencapai suatu persetujuan untuk menyelesaikan pertikaian itu, pihak-pihak itu boleh mencari penyelesaian pertikaian itu melalui suatu jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Suruhanjaya untuk mendengar dan menyelesaikan pertikaian:

Dengan syarat bahawa dalam hal yang difikirkan patut oleh Suruhanjaya, pertikaian itu boleh ditentukan melalui timbang tara di bawah seksyen 36.

(3) Amalan dan tatacara yang hendak diikuti apabila menentukan apa-apa pertikaian di bawah subseksyen (2) hendaklah seperti apa yang didapati wajar oleh Suruhanjaya.   

(4) Sementara menanti penentuan apa-apa pertikaian yang berbangkit di bawah seksyen 9e, 17, 24 hingga 29 dan 32 di antara pemegang lesen dan orang yang menghendaki bekalan elektrik, pemegang lesen hendaklah meneruskan pemberian bekalan elektrik sehingga penentuan pertikaian itu.

(5) Apa-apa perintah di bawah subseksyen (2) boleh termasuk suatu peruntukan yang menghendaki salah satu pihak membayar kos atau perbelanjaan yang dilakukan oleh Suruhanjaya dalam menentukan pertikaian itu.


30A.   Pemberitahuan pertikaian dan keputusan mengikat oleh Suruhanjaya

 (1) Mana-mana pihak kepada sesuatu pertikaian boleh, secara bertulis, memberitahu Suruhanjaya mengenai pertikaian yang tidak dapat diselesaikan itu melalui perundingan di bawah subseksyen 30(1).

(2) Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Suruhanjaya di bawah subseksyen 30(2) hendaklah hanya bersidang untuk menyelesaikan suatu pertikaian itu jika Suruhanjaya berpuas hati bahawa—

(a) suatu persetujuan untuk menyelesaikan pertikaian itu tidak akan tercapai
      atau tidak akan tercapai dalam masa yang munasabah; dan

(b) pertikaian itu dan pemberitahuannya bukan sesuatu yang ringan, remeh
     atau menyusahkan.

(3) Jawatankuasa boleh menyelesaikan pertikaian itu atas apa-apa terma dan syarat mengikut yang difikirkannya patut.

(4) Terma dan syarat di bawah subseksyen (3) hendaklah secara bertulis dan disertakan dengan alasan bagi keputusan jawatankuasa itu.

(5) Keputusan jawatankuasa itu hendaklah disifatkan sebagai keputusan Suruhanjaya dan mengikat pihak-pihak itu.

(6) Sesuatu keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya di bawah seksyen ini boleh, dengan izin Mahkamah Sesyen, dikuatkuasakan mengikut cara yang sama sebagaimana penghakiman atau perintah yang sama kesannya oleh Mahkamah Sesyen, dan jika izin telah diberikan sedemikian, penghakiman boleh dibuat mengikut terma keputusan Suruhanjaya itu dan seolah-olah keputusan itu ialah penghakiman Mahkamah itu.

(7) Penghakiman di bawah subseksyen (6) hanya boleh dibuat jika perakuan telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya kepada mana-mana pihak bagi izin untuk dibawa ke Mahkamah bagi penguatkuasaan keputusan itu tetapi tiada perakuan dikehendaki jika suatu tindakan diambil oleh Suruhanjaya di bawah seksyen ini.


30b.   Daftar keputusan

   (1) Suruhanjaya hendaklah menyenggara suatu daftar bagi semua keputusan yang dibuat di bawah seksyen 30a.

(2) Daftar itu hendaklah mengandungi—

(a) nama pihak-pihak kepada pertikaian;

(b) perihalan am mengenai perkara yang berkaitan dengan keputusan itu;
     dan

(c) tarikh keputusan itu.”.
31.   Pemastian harga maksimum bagi penjualan semula elektrik

 (1) Seksyen ini terpakai bagi elektrik yang dibekalkan pada premis oleh seseorang yang dibenarkan oleh suatu lesen untuk membekalkan elektrik

(2) Suruhanjaya boleh dari semasa ke semasa memastikan harga maksimum yang dengannya elektrik di bawah seksyen ini boleh dijual semula dan boleh menyiarkan harga yang dipastikan sedemikian mengikut apa-apa cara sebagaimana yang pada pendapat Suruhanjaya dapat menjamin publisiti yang mencukupi untuknya.

(3) Harga berlainan boleh dipastikan bagi berlainan yang boleh ditentukan melalui rujukan kepada kawasan, tarif atau apa-apa faktor relevan lain.

(4) Jika mana-mana orang menjual semula elektrik pada harga yang melebihi harga maksimum yang dipastikan di bawah seksyen ini, amaun lebih itu hendaklah didapatkan kembali oleh orang yang kepadanya elektrik itu dijual semula.


32.   Caj bagi bekalan elektrik hendaklah ditentukan melalui meter yang sesuai

 (1) Jika seseorang pengguna pemegang lesen atau Pembeli Tunggal dikenakan caj bagi bekalan elektriknya sama ada keseluruhannya atau sebahagiannya dengan merujuk kepada kuantiti elektrik yang dibekalkan, bekalan itu hendaklah diberikan menerusi, dan kuantiti elektrik hendaklah ditentukan melalui, meter yang sesuai.

(1a) Meter hendaklah dipasang, ditentu ukur, diuji, disahkan dan disenggarakan sebagaimana yang ditetapkan atau dengan mengikut mana-mana kod atau garis panduan yang dikeluarkan di bawah Akta ini, mengikut mana-mana yang berkenaan.”;

(2) Meter hendaklah diadakan oleh pemegang lesen, yang membekalkan elektrik sama ada dengan cara jualan, sewa atau pinjaman.

(3) Meter hendaklah dipasang pada premis pengguna pemegang lesen atau Pembeli Tunggal di suatu kedudukan yang hendaklah ditentukan oleh pemegang lesen, yang membekalkan elektrik melainkan jika dalam hal keadaan tertentu adalah lebih munasabah untuk menempatkan meter itu di luar premis atau di suatu kedudukan lain.

(4) Jika pengguna pemegang lesen atau Pembeli Tunggal enggan atau tidak mendapatkan bekalan elektriknya menerusi meter yang sesuai yang diadakan dan dipasang mengikut subseksyen (2) dan (3) pemegang lesen yang membekalkan elektrik boleh enggan memberikan atau memberhentikan bekalan.

(5) Bagi maksud seksyen ini, suatu meter adalah meter yang sesuai untuk kegunaan berkaitan dengan apa-apa bekalan elektrik yang tertentu jika ia adalah daripada corak pembinaan yang, dengan mengambil kira terma yang berdasarkannya bekalan itu dikenakan caj, bersesuaian dengan tertentunya bagi kegunaan sedemikian dan boleh termasuk meter prabayar, infrastruktur pemeteran, telepemeteran atau apa-apa cara pemeteran lain sebagaimana yang ditentukan oleh Suruhanjaya.






BAHAGIAN VII
PEMBERITAHUAN KEMALANGAN ATAU KEBAKARAN


33.   Kemalangan serius hendaklah dilaporkan dan penyiasatan  oleh
        Suruhanjaya

 (1) Bilamasa apa-apa kemalangan atau kebakaran yang menyebabkan atau mengakibatkan kehilangan nyawa atau cedera kepada mana-mana orang atau kerosakan serius pada harta telah berlaku berkaitan dengan apa-apa pepasangan atau loji atau kelengkapan elektrik, pemunya, pemegang lesen atau pihak berkuasa bekalan dan pihak pengurusannya hendaklah melaporkan kemalangan atau kebakaran itu kepada Suruhanjaya melalui cara yang tercepat yang ada, dan kemudiannya, dengan seberapa sedikit kelengahan yang mungkin, hendaklah melaporkan secara bertulis kepada Suruhanjaya mengenai fakta perkara itu setakat yang diketahui oleh mereka masing-masing.

(2) Suruhanjaya hendaklah, dengan seberapa segera yang praktik apabila menerima laporan pertama mengarahkan seseorang pegawai diberi kuasa supaya—

(a) melawat tempat di mana kemalangan atau kebakaran itu berlaku;

(b) membuat penyiasatan permulaan mengenai hal keadaan itu;

(c) merekodkan secara bertulis dapatannya yang boleh disokong dengan
     fotograf yang relevan, selepas penyiasatan itu;

(d) diberikan fotograf, laporan perubatan atau dokumen relevan lain daripada
     mana-mana orang atau pihak berkuasa tanpa apa-apa pembayaran fi dan
     orang atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi apa-apa permintaan  
     sedemikian;

(e) mengemukakan laporannya kepada Ketua Pegawai Eksekutif; dan

(f) jika telah berlaku apa-apa kehilangan nyawa atau terdapat sebab
    mempercayai bahawa mana-mana orang telah dicederakan sehingga
    membawa maut, menghantar suatu salinan dapatannya kepada majistret
    yang terdekat.

(3) Sekiranya berlaku kehilangan nyawa atau cedera parah kepada mana-mana orang disebabkan oleh apa-apa kemalangan atau kebakaran berkaitan dengan mana-mana pepasangan atau loji atau kelengkapan elektrik, tiada pengubah pindaan atau penambahan boleh, tanpa kebenaran Suruhanjaya, dibuat pada mana-mana bahagian pepasangan, loji atau kelengkapan itu yang mungkin telah membantu menyebabkan kemalangan atau kebakaran itu dan tiada apa-apa pengubah pindaan boleh dibuat, tanpa keizinan itu, pada tempat berlakunya kemalangan atau kebakaran sehinggalah pegawai diberi kuasa telah menyelesaikan penyiasatannya:

Dengan syarat bahawa tiada apa-apa jua yang terkandung di dalam seksyen ini boleh berkuat kuasa untuk mengganggu kerja penyelamatan atau kerja yang perlu bagi keselamatan am nyawa atau harta.

(4) Jika berdasarkan suatu penyiasatan permulaan di bawah subseksyen (2) ternyata kepada pegawai diberi kuasa untuk membuat penyiasatan itu bahawa terdapat sebab untuk mempercayai bahawa kemalangan atau kebakaran itu telah disebabkan oleh apa-apa kegagalan untuk mematuhi Akta ini atau apa-apa perintah sah yang diberikan oleh Suruhanjaya, atau jika pegawai yang diberi kuasa yang membuat penyiasatan itu berpuas hati bahawa kemalangan atau kebakaran itu mungkin boleh dicegah jika langkah berawas-awas yang wajar telah diambil dan dipatuhi semasa mengerjakan mana-mana pepasangan atau loji atau kelengkapan elektrik, Suruhanjaya boleh menyiasat hal keadaan kemalangan atau kebakaran itu dengan lebih lanjut berserta dengan pegawai yang diberi kuasa yang membuat penyiasatan permulaan itu dan jika Suruhanjaya berpendapat bahawa prosiding jenayah patut dibawa terhadap mana-mana orang, maka Suruhanjaya hendaklah mengemukakan kepada Pendakwa Raya suatu salinan laporan pegawai yang diberi kuasa itu dengan pendapat Suruhanjaya menangani hal keadaan dan dapatan itu.

(5) Mana-mana orang yang terlibat dengan mana-mana penyiasatan yang diadakan di bawah seksyen ini berhak, apabila dibayar fi yang ditetapkan, menerima suatu salinan laporan, pendapat dan pernyataan Suruhanjaya dalam penjalanan penyiasatannya.

(6) Mana-mana orang yang, tanpa sebab sah, melanggar atau gagal mematuhi subseksyen (1) dan (3) adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan, apabila disabitkan, denda tidak melebihi lima ribu ringgit.



BAHAGIAN VIIA
KESELAMATAN PEPASANGAN DAN KELENGKAPAN


33A.  Tanggungjawab pemegang lesen terhadap keselamatan

(1) Seseorang pemegang lesen yang mengendalikan dan menyenggara apa-apa infrastruktur bekalan elektrik hendaklah mematuhi apa-apa peraturan yang dibuat di bawah Akta ini, kod keselamatan infrastruktur elektrik, atau jika tiada apa-apa peraturan atau kod, dengan standard dan amalan penggunaan yang berhemat sebagaimana yang ditentukan oleh Suruhanjaya.

(2) Seorang pemegang lesen hendaklah menyediakan suatu pelan pengurusan keselamatan yang memperkatakan perkara-perkara sebagaimana yang ditetapkan dalam kod keselamatan infrastruktur elektrik, atau jika tiada apa-apa kod, dengan standard dan amalan penggunaan yang berhemat sebagaimana yang ditentukan oleh Suruhanjaya.

(3) Mana-mana pemegang lesen yang gagal menyediakan pelan pengurusan keselamatan yang disebut dalam subseksyen (2) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.


33B.  Tanggungjawab pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan
domestik, pemegang lesen bagi jualan dan pemegang lesen bagi pepasangan persendirian bagi keselamatan

(1) Seseorang pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestik yang berdaftar di bawah Akta ini, pemegang lesen bagi jualan dan pemegang lesen bagi pepasangan persendirian hendaklah mematuhi kod keselamatan pepasangan elektrik bukan domestik dan program pengurusan keselamatan, atau jika tiada apa-apa kod atau program itu, dengan standard dan amalan industri yang berhemat sebagaimana yang ditentukan oleh Suruhanjaya.
(2) Seorang pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestik yang
berdaftar di bawah Akta ini, pemegang lesen bagi jualan dan pemegang lesen bagi pepasangan persendirian hendaklah menyediakan program pengurusan keselamatan dalam apa-apa tempoh sebagaimana yang diarahkan oleh Suruhanjaya.

(3) Program pengurusan keselamatan yang disebut dalam subseksyen (2) hendaklah memperuntukkan bagi perkara sebagaimana yang ditetapkan dalam kod keselamatan pepasangan elektrik bukan domestik, atau jika tiada apa-apa kod itu, dengan standard dan amalan industri yang berhemat sebagaimana yang ditentukan oleh Suruhanjaya.

(4) Seorang pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestik yang
berdaftar di bawah Akta ini, pemegang lesen bagi jualan dan pemegang lesen bagi pepasangan persendirian yang gagal menyediakan program pengurusan keselamatan yang disebut dalam subseksyen (2) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.


33C.  Menjalankan kerja elektrik

(1) Seorang orang kompeten atau orang di bawah kawalan orang kompeten yang menjalankan kerja elektrik hendaklah memastikan bahawa kerja elektrik itu mematuhi apa-apa peraturan yang dibuat di bawah Akta ini, kod keselamatan infrastruktur elektrik atau kod keselamatan pepasangan elektrik bukan domestik, mengikut mana-mana yang berkenaan, atau jika tiada apa-apa peraturan atau kod, dengan standard dan amalan industri yang berhemat sebagaimana ditentukan oleh Suruhanjaya.

(2) Orang yang menjalankan kerja elektrik di bawah subseksyen (1) hendaklah memastikan bahawa kerja itu tidak menyebabkan kecederaan berkaitan elektrik terhadap mana-mana orang atau kerosakan kepada apa-apa harta benda.


33D.  Tanggungjawab yang berhubungan dengan kerja selain kerja elektrik

(1) Mana-mana orang yang menjalankan apa-apa pembinaan, pembangunan, pengubahsuaian atau kerja selain kerja elektrik berhampiran dengan pepasangan elektrik hendaklah memastikan bahawa kerja itu tidak menyebabkan gangguan kepada bekalan elektrik atau kecederaan berhubung elektrik kepada mana-mana orang atau kerosakan terhadap apa-apa harta benda.

(2) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua puluh lima ribu ringgit dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda tidak melebihi lima ratus ringgit bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.


33E.   Pematuhan pemeriksaan

(1) Suruhanjaya boleh, memeriksa atau menyebabkan supaya diperiksa suatu infrastruktur bekalan elektrik, pepasangan elektrik bukan domestik atau tempat perniagaan atau apa-apa aktiviti pengilang berdaftar atau pengimport atau suatu badan penilaian pematuhan berdaftar atau pusat latihan dan pemeriksaan berdaftar atau institusi untuk memastikan bahawa pemegang lesen, pemegang lesen bagi jualan dan pemegang lesen bagi pepasangan persendirian, pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestik, pengilang berdaftar atau pengimport, atau badan penilaian pematuhan berdaftar atau pusat latihan dan pemeriksaan berdaftar atau institusi, mengikut mana-mana yang berkenaan, mematuhi Akta ini, apa-apa peraturan yang dibuat di bawah Akta ini, garis panduan, kod atau arahan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya di bawah Akta ini, pelan pengurusan keselamatan dan program pengurusan keselamatan, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(2) Suruhanjaya boleh memeriksa atau menyebabkan supaya diperiksa apa-apa kelengkapan, di mana-mana premis, bangunan, kemudahan termasuk kemudahan sementara dan kenderaan yang digunakan bagi penjualan atau tawaran bagi penjualan secara jualan untuk menentukan jika kelengkapan itu mematuhi standard sebagaimana yang ditentukan oleh Suruhanjaya.


33f.   Tafsiran

Bagi maksud Bahagian ini—

“kod keselamatan infrastruktur elektrik” ertinya sesuatu kod yang dibangunkan, dikeluarkan dan didaftarkan oleh Suruhanjaya di bawah seksyen 50a mengenai kehendak keselamatan, standard keselamatan dan teknikal, pengendalian, penyenggaraan dan perlindungan sistem elektrik yang bersesuaian dan perkara berkaitan yang lain mengenai infrastruktur bekalan elektrik;

“kod keselamatan pepasangan elektrik bukan domestik” ertinya sesuatu kod yang dibangunkan, dikeluarkan dan didaftarkan oleh Suruhanjaya di bawah seksyen 50a mengenai kehendak keselamatan, standard keselamatan dan teknikal yang bersesuaian, pengendalian, penyenggaraan dan perlindungan sistem elektrik dan perkara berkaitan yang lain mengenai pepasangan elektrik bukan domestik;

“pelan pengurusan keselamatan” ertinya pelan pengurusan keselamatan, kebolehpercayaan, penyenggaraan dan teknikal berkenaan dengan infrastruktur bekalan elektrik;

“pemegang lesen” tidak termasuk pemegang lesen bagi jualan dan pemegang lesen bagi pepasangan persendirian;

“pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestik” ertinya seseorang yang mempunyai, menggunakan, bekerja atau mengendalikan pepasangan elektrik bukan domestik;

“pepasangan elektrik bukan domestik” ertinya suatu set dawai dan lekapan, kelengkapan dan aksesori yang berkaitan yang dipasang di suatu tempat bagi membawa, mengawal atau menggunakan elektrik yang sedang, atau akan, atau telah, dibekalkan bagi penggunaan di tempat itu, tetapi tidak termasuk—

(a) apa-apa infrastruktur bekalan elektrik yang dipunyai atau dikendalikan
     oleh seseorang pemegang lesen;

(b) apa-apa dawai, lekapan, kelengkapan atau aksesori yang disambungkan
kepada dan melampaui apa-apa aliran keluar elektrik di mana pendawaian tetap tamat, selain apa-apa aliran keluar yang digunakan untuk menyambungkan bahagian pendawaian tetap; atau
(c) premis kediaman persendirian;

“program pengurusan keselamatan” ertinya program pengurusan keselamatan, kebolehpercayaan, penyenggaraan dan teknikal berkenaan dengan pepasangan elektrik bukan domestik.


BAHAGIAN VII
SIASATAN DAN TIMBANG TARA


34.   Tatacara berhubungan dengan siasatan dan timbang tara

(1) Sekiranya berlaku perselisihan di antara pemegang lesen dengan seseorang pegawai diberi kuasa atau di antara pihak pengurusan atau pemunya mana-mana pepasangan atau kelengkapan dengan seseorang pegawai diberi kuasa mengenai apa-apa perkara yang menyentuh pembinaan, pendirian, penyenggaraan atau pengendalian mana-mana pepasangan atau kelengkapan, perkara itu hendaklah dirujuk kepada dan diputuskan oleh Suruhanjaya.

(2) Mana-mana orang yang berasa terkilan dengan keputusan Suruhanjaya di bawah subseksyen (1) boleh memohon kepada Menteri bagi pertimbangan semula perkara yang dipertikaikan itu.Permohonan itu hendaklah dibuat secara bertulis dalam masa dua puluh satu hari dari tarikh keputusan Suruhanjaya, atau dalam apa-apa tempoh lanjut sebagaimana yang dibenarkan oleh Menteri dalam hal keadaan khas, dan hendaklah mengandungi alasan kilanan itu.

(3) Apabila menerima permohonan itu, Menteri hendaklah melantik seseorang sebagai wakilnya untuk menerajui dan mengadakan siasatan mengenai perkara itu berserta dengan dua orang lain yang akan dinamakan oleh Menteri sebagai pengapit. Pengapit hendaklah orang yang memiliki kemahiran dan pengalaman dalam bidang elektrik atau bidang khas lain yang diambil dari kalangan orang yang bukan dalam perkhidmatan Suruhanjaya.

(4) Segala soalan dalam siasatan itu hendaklah ditentukan oleh suatu majoriti anggota yang mengadakan siasatan itu.

(5) (a) Di akhir siasatan, orang yang dilantik oleh Menteri di bawah subseksyen
(3) hendaklah mengemukakan kepada Menteri suatu ringkasan keterangan berserta dengan keputusan yang telah dicapai, dan Menteri hendaklah menyetuju terima keputusan itu sebagai muktamad dan hendaklah memberitahu semua orang yang berkenaan

(b) Mana-mana orang yang kena mengena dengan perkara yang dirujuk
     kepada Menteri di bawah subseksyen (2) adalah berhak, apabila dibayar fi  
     yang ditetapkan, kepada suatu salinan ringkasan keterangan dan
     keputusan yang disebut dalam perenggan (a).

(6) Orang yang dinamakan oleh Menteri untuk berkhidmat sebagai pengapit adalah berhak menerima apa-apa saraan sebagaimana yang ditetapkan oleh Menteri dari semasa ke semasa.





35.   Kuasa untuk mengadakan siasatan

        Bagi maksud mengadakan siasatan di bawah Akta ini, Suruhanjaya atau orang yang dilantik oleh Menteri di bawah subseksyen 34(3), mengikut mana-mana yang berkenaan, hendaklah mempunyai kuasa mengendalikan sumpah dan ikrar dan hendaklah terletak hak padanya kuasa majistret kelas satu bagi memaksa kehadiran saksi, menjaga ketenteraman atau selainnya menjalankan dengan sempurna siasatan tersebut. Orang yang dipanggil menghadiri mana-mana siasatan adalah terikat di sisi undang-undang untuk hadir.


36.  Timbang tara

(1) Jika apa-apa perkara disifatkan patut oleh Suruhanjaya di bawah seksyen 30 atau dikehendaki ditentukan melalui timbang tara di bawah Akta ini, perkara itu hendaklah ditentukan oleh suatu lembaga yang terdiri daripada satu atau tiga penimbang tara yang dipilih oleh pihak-pihak atau, jika mereka tidak dapat bersetuju, oleh Hakim Besar.

(2) Setiap pihak hendaklah mempunyai kuasa untuk melantik seorang pengapit untuk bersidang dengan penimbang tara, tetapi hanya penimbang tara seorang sahaja hendaklah mempunyai kuasa memutuskan dan membuat suatu award. Jika lebih daripada satu penimbang tara dilantik, suatu majoriti di kalangan mereka boleh memutuskan dan membuat suatu award.

(3) Timbang tara, hendaklah dijalankan di mana-mana tempat dalam Malaysia sebagaimana yang diputuskan oleh penimbang tara, dan hendaklah, tertakluk kepada seksyen ini, dikawal oleh Akta Timbang Tara 2005 [Akta 646].

(4) Saraan penimbang tara yang dilantik oleh Hakim Besar mengikut seksyen ini hendaklah dipastikan oleh Hakim Besar dan saraan penimbang tara yang dipilih oleh pihak-pihak hendaklah dipastikan oleh mereka. Kos rujukan dan award itu hendaklah dibayar oleh pihak-pihak mengikut kadar yang diputuskan oleh penimbang tara:
Dengan syarat bahawa saraan dan elaun pengapit hendaklah dibayar oleh pihak yang bertentangan dengannya award itu dibuat.


BAHAGIAN IX
KESALAHAN DAN PENALTI


37.   Kesalahan
     
(1) Mana-mana orang yang mengganggu atau melaraskan apa-apa pepasangan atau bahagiannya atau mengilang atau mengimport atau menjual apa-apa kelengkapan sehingga menyebabkan atau mungkin menyebabkan bahaya kepada nyawa atau anggota badan manusia atau kerosakan pada mana-mana kelengkapan atau harta lain adalah melakukan suatu kesalahan dan bagi setiap kesalahan sedemikian, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi satu juta ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

(2) Mana-mana orang yang dengan apa-apa perbuatan atau peninggalan gopoh atau cuai menyebabkan kecederaan atau kerosakan kepada mana-mana orang atau harta berkenaan dengan mana-mana pepasangan atau kelengkapan atau suatu bahagiannya adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan, apabila disabitkan, denda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

(3) Mana-mana orang yang mengikut apa-apa cara dengan curang—

(a) mengambil elektrik;

(b) mengguna habis elektrik;

(c) mengguna elektrik;

(d) mengubah pinda indeks apa-apa meter atau alat lain yang digunakan di
     atas atau berkaitan dengan apa-apa pepasangan mana-mana pihak    
     berkuasa bekalan atau mana-mana pepasangan berlesen untuk
     merekodkan keluaran atau penggunahabisan elektrik; atau

(e) menghalang apa-apa meter atau alat sedemikian daripada merekodkan
     dengan sempurnanya keluaran atau penggunahabisan elektrik,

melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan—

(A) dikenakan:

(i) dalam hal pengguna domestik, denda tidak kurang daripada satu ribu
    ringgit dan tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau pemenjaraan selama
    tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya; dan

(ii) dalam hal pengguna bukan domestik, denda tidak kurang daripada dua
     puluh ribu ringgit dan tidak melebihi satu juta ringgit atau pemenjaraan   
     selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya; dan

(B) dikenakan bagi kesalahan kedua dan yang berikutnya:

(i) dalam hal pengguna domestik, denda tidak kurang daripada lima ribu
    ringgit dan tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau pemenjaraan selama  
    tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya; dan

(ii) dalam hal pengguna bukan domestik, denda tidak kurang daripada satu
ratus ribu ringgit dan tidak melebihi lima juta ringgit atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.”;

(4) Mana-mana orang yang, berlanggaran dengan seksyen 9, menggunakan, mengerjakan atau mengendalikan atau membenarkan digunakan, dikerjakan atau dikendalikan apa-apa pepasangan adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan, apabila disabitkan, denda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit dan denda tambahan tidak melebihi satu ribu ringgit bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

(5) Mana-mana orang yang berlanggaran dengan seksyen 9, membekalkan elektrik daripada suatu pepasangan kepada atau bagi penggunaan mana-mana orang adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan, apabila disabitkan, denda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit, dan denda tambahan tidak melebihi satu ribu ringgit bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

(6) Mana-mana pemegang lesen yang tanpa kebenaran nyata daripada Suruhanjaya membekalkan elektrik atau meletakkan apa-apa talian bekalan atau membina apa-apa kerja elektrik di luar kawasan bekalan yang dinyatakan dalam lesennya adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan, apabila disabitkan, denda tidak melebihi lima ribu ringgit, dan mana-mana talian atau kerja tidak dibenarkan sedemikian boleh, selepas sabitan, dialihkan mengikut perintah Suruhanjaya, dan jika perintah itu tidak dipatuhi, kos munasabah bagi pengalihan sedemikian boleh didapatkan kembali daripada pemegang lesen.

(7) Mana-mana pemegang lesen yang tanpa sebab yang sah gagal mematuhi apa-apa terma atau syarat yang dinyatakan dalam lesen adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan, apabila disabitkan, denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit dan, denda tambahan tidak melebihi satu ribu ringgit bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

(8) Mana-mana orang yang gagal atau abai untuk mendaftarkan apa-apa pepasangan di bawah seksyen 21 adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan, apabila disabitkan, denda tidak melebihi dua puluh lima ribu ringgit dan denda tambahan tidak melebihi satu ribu ringgit bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

(9) Mana-mana orang yang, tanpa kebenaran yang wajar, memadamkan atau merosakkan apa-apa lampu awam atau merosakkan atau mencacatkan apa-apa tiang, pendakap atau kaedah lain bagi menopangkan suatu lampu awam adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan, apabila disabitkan, denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

(10) Mana-mana orang yang tanpa keizinan sah daripada pihak berkuasa bekalan atau pemegang lesen, mengikut mana-mana yang berkenaan, melekatkan atau menyebabkan dilekatkan apa-apa iklan, bil atau notis atau apa-apa kertas pada atau atas, atau selainnya mencacatkan apa-apa bangunan, tiang atau pendakap atau kelengkapan lain atau kepungannya yang digunakan bagi atau berkaitan dengan apa-apa pepasangan awam adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan, apabila disabitkan, denda tidak melebihi dua puluh lima ribu ringgit.

(11) Mana-mana orang yang dengan sengaja atau dengan cuai—

(a) menyebabkan pembaziran elektrik yang dilencongkan dari aliran
     perjalanannya yang patut; atau

(b) memecahkan, menumbangkan, menyebabkan dijatuhkan atau dirosakkan
     apa-apa talian bekalan, tiang, pancang atau kelengkapan, pepasangan   
     atau mana-mana bahagian daripadanya yang lain, mengikut mana-mana
     yang berkenaan, yang bersambung dengan bekalan elektrik, adalah
melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan, apabila disabitkan, denda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

(12) (a)    Tiada seorang pun tanpa kebenaran sah daripada pihak berkuasa
bekalan atau pemegang lesen, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh mengusahakan apa-apa kerja atau melibatkan diri dalam apa-apa aktiviti berhampiran dengan apa-apa pepasangan elektrik atau sebahagian daripadanya yang ditetapkan mengikut cara yang berkemungkinan mengganggu mana-mana pepasangan elektrik atau menyebabkan bahaya kepada mana-mana orang atau harta.
 (b)  Mana-mana orang yang melanggar seksyen ini adalah melakukan
suatu kesalahan dan boleh dikenakan, apabila disabitkan, denda  
tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak  
melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(13) (a) Tiada seorang pun boleh memasang apa-apa pendawaian atau
persambungan elektrik pada pendawaian yang ada pada mana-mana premis tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis daripada suatu pihak berkuasa bekalan atau pemegang lesen.

(b)  Mana-mana orang yang melanggar seksyen ini adalah melakukan
 suatu kesalahan dan boleh dikenakan, apabila disabitkan, denda  
 tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak
 melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(14) Mana-mana orang yang merosakkan atau mengalihkan apa-apa meter atau alat lain yang digunakan atas atau berkaitan dengan mana-mana pepasangan berlesen bagi merekodkan keluaran atau penggunahabisan elektrik adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(15) Mana-mana orang—

(a) yang didapati bersalah atas apa-apa kesalahan terhadap Akta ini yang
tiada penalti diperuntukkan secara nyata boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua puluh lima ribu ringgit dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda tidak melebihi lima ratus ringgit bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas sabitan;

(b) yang dengan apa-apa perbuatan atau peninggalan melanggar mana-mana
peruntukan di bawah Akta ini melakukan suatu kesalahan dan jika tiada penalti diperuntukkan secara nyata boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda tidak melebihi lima ratus ringgit bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.”; dan

(16) Bagi maksud subseksyen(3)—

“pepasangan domestik” ertinya pepasangan di rumah kediaman persendirian yang tidak digunakan dalam mana-mana hotel atau rumah tumpangan atau bagi maksud menjalankan apa-apa perniagaan, perdagangan, profesion atau perkhidmatan;

“pengguna bukan domestik” ertinya pengguna elektrik selain pengguna domestik;

“pengguna domestik” ertinya pengguna bagi pepasangan domestik yang dibekalkan atau yang berkaitan dengan elektrik.”

37A.   Kesalahan yang dilakukan oleh pertubuhan perbadanan

(1) Jika suatu kesalahan terhadap Akta ini atau perundangan subsidiarinya telah dilakukan oleh sesuatu pertubuhan perbadanan, mana-mana orang yang pada masa pelakuan kesalahan itu ialah pengarah, ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai operasi, pengurus, setiausaha atau pegawai serupa yang lain dalam pertubuhan perbadanan itu atau yang berupa bertindak atas sifat sedemikian atau yang mengikut apa-apa cara atau pada apa-apa takat tanggungjawab bagi pengurusan apa-apa hal ehwal pertubuhan perbadanan itu atau yang membantu dalam pengurusan sedemikian—

(a) boleh dipertuduh secara berasingan atau bersesama dalam prosiding
     yang sama bersekali dengan pertubuhan perbadanan itu; dan

(b) jika pertubuhan perbadanan itu didapati telah melakukan kesalahan,
hendaklah disifatkan telah melakukan kesalahan itu melainkan jika dengan mengambil kira jenis fungsinya atas sifat itu dan segala hal keadaan, dia membuktikan—

(i) bahawa kesalahan itu telah dilakukan tanpa pengetahuan,
    persetujuan atau pembiarannya; dan

(ii) bahawa dia telah mengambil segala langkah yang munasabah dan
telah menjalankan usaha yang wajar untuk mencegah pelakuan   kesalahan itu.

(2) Jika mana-mana orang boleh di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini, dikenakan apa-apa hukuman atau penalti bagi apa-apa perbuatan, peninggalan, pengabaian atau keingkaran, dia boleh dikenakan hukuman atau penalti yang sama bagi tiap-tiap perbuatan, peninggalan, pengabaian atau keingkaran itu oleh mana-mana pekerja, pekhidmat atau ejennya, atau pekerja atau pekhidmat ejen itu jika perbuatan, peninggalan, pengabaian atau keingkaran itu telah dilakukan—

(a) oleh pekerja atau pekhidmat orang itu dalam perjalanan urusan
      pekerjaannya;

(b) oleh ejen itu semasa bertindak bagi pihak orang itu; atau

(c) oleh pekerja atau pekhidmat ejen itu dalam perjalanan urusan
pekerjaannya dengan ejen itu atau selainnya bagi pihak ejen yang bertindak bagi pihak orang itu.


37B.   Kesalahan cubaan dan subahat

Jika mana-mana orang—

(a) membantu, bersubahat, menolong, menghasut atau mendorong mana-
mana orang lain untuk membuat atau membuat bagi pihak seorang yang lain suatu penyata, akaun, pernyataan atau perisytiharan yang salah atau melakukan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum di bawah Akta ini; atau

(b) cuba untuk membuat atau membuat bagi pihak seorang yang lain suatu
penyata, akaun, pernyataan atau perisytiharan yang salah atau melakukan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum di bawah Akta ini,

orang itu melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dihukum dengan hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu di bawah Akta ini dengan syarat bahawa apa-apa tempoh pemenjaraan yang dikenakan tidak melebihi satu setengah daripada tempoh terpanjang yang diperuntukkan bagi kesalahan itu.
38.   Pemotongan bekalan elektrik

       (1) Jika mana-mana orang yang diambil kerja oleh pemegang lesen mendapati keterangan di mana-mana premis yang memberikan alasan yang munasabah untuk dia mempercayai bahawa suatu kesalahan telah dilakukan di bawah subseksyen 37(1), (3) atau (14), pemegang lesen atau mana-mana orang yang telah diberi kuasa sewajarnya oleh pemegang lesen hendaklah dalam masa tiga hari bekerja dari tarikh dapatan itu memaklumkan Suruhanjaya secara bertulis, dan pemegang lesen itu boleh, dengan memberikan notis tidak kurang daripada empat puluh lapan jam dari tarikh yang sama mengikut apa-apa bentuk sebagaimana yang ditetapkan, menyebabkan bekalan elektrik dipotong daripada premis itu.

(1A) Walau apa pun mana-mana peruntukan lain dalam Akta ini, jika seseorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Penolong Penguasa memohon kepada suatu pihak berkuasa bekalan atau seseorang pemegang lesen bagi pemotongan bekalan elektrik ke mana-mana premis bagi suatu tempoh tidak melebihi satu bulan kalender di bawah seksyen 21A Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 [Akta 289], pihak berkuasa bekalan atau pemegang lesen itu atau mana-mana orang yang diberi kuasa oleh pihak berkuasa bekalan atau pemegang lesen itu hendaklah dengan serta-merta memotong atau menyebabkan bekalan elektrik dipotong dari premis sedemikian.

(1b) Apabila menerima apa-apa maklumat di bawah subseksyen (1), Suruhanjaya boleh menentusahkan perkara itu dan dalam hal jika Suruhanjaya mendapati bahawa tiada kesalahan telah dilakukan, bekalan elektrik hendaklah disambung semula dengan serta-merta.

(2) Jika bekalan elektrik telah dipotong di bawah subseksyen (1), ia tidak boleh disambung semula sehinggalah pemegang lesen menurut budi bicaranya memberikan kebenaran bagi penyambungan semula:
Dengan syarat bahawa tempoh pemotongan itu tidak melebihi tiga bulan.

(2A) Walau apa pun subseksyen (2), jika bekalan elektrik telah dipotong di bawah subseksyen (1A), bekalan itu tidak boleh disambung semula tanpa keizinan bertulis seseorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Penolong Penguasa.

(3) Pemegang lesen boleh menghendaki pengguna supaya membayar kepadanya bagi kerugian hasil yang disebabkan oleh kesalahan yang dilakukan di bawah subseksyen 37(1), (3) dan (14) dan apa-apa perbelanjaan yang munasabah yang dilakukan secara terus oleh pemegang lesen di bawah seksyen ini termasuk perbelanjaan yang dilakukan berkenaan dengan penyambungan semula elektrik mengikut cara sebagaimana yang telah diarahkan oleh Suruhanjaya:

Dengan syarat bahawa dan tertakluk kepada subseksyen (4), jika pemegang lesen tidak meneruskan tuntutan bagi kerugian hasil dan perbelanjaan itu di mahkamah, pemegang lesen hanya boleh menuntut terhadap pengguna bagi kerugian hasil dan perbelanjaan tersebut bagi tempoh tidak melebihi enam bulan ke belakang dari tarikh kesalahan itu disedari di bawah subseksyen (1)

(4) Suatu pernyataan bertulis oleh seseorang pekerja pemegang lesen yang diperakui dengan sempurnanya oleh pemegang lesen atau mana-mana orang yang diberi kuasa oleh pemegang lesen, yang menyatakan—

(a) amaun kerugian hasil atau perbelanjaan yang munasabah dilakukan oleh    
     Pemegang lesen;
(aa) cara pengiraan kerugian hasil dan butiran perbelanjaan; dan

(b) orang yang bertanggungan bagi pembayarannya,

hendaklah menjadi keterangan prima facie mengenai pembayaran yang kena dibuat oleh pengguna di bawah subseksyen (3) dan pernyataan bertulis itu hendaklah diberitahu kepada pengguna dalam masa empat belas hari bekerja atau apa-apa tempoh yang dilanjutkan dengan kelulusan bertulis Suruhanjaya selepas pemotongan itu.

(5) Amaun yang dinyatakan dalam pernyataan bertulis di bawah subseksyen (4) itu hendaklah, dalam tempoh yang dinyatakan dalam pernyataan itu, menjadi genap masa dan kena dibayar kepada pemegang lesen dan jika tidak dibayar, amaun itu hendaklah didapatkan kembali melalui tindakan sivil di mahkamah.


39.   Liabiliti tidak terjejas

 Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 17 dan 20, tiada apa-apa jua yang terkandung dalam Akta ini boleh berkuat kuasa untuk melepaskan pemegang lesen atau pihak pengurusan daripada apa-apa liabiliti sivil atau jenayah yang berbangkit di bawah Akta ini.


40.   Beban pembuktian

 Dalam apa-apa pendakwaan bagi mana-mana kesalahan di bawah subseksyen 37(3) bukti mengenai—

(a) kewujudan kaedah-kaedah buatan, sama ada bersendirian atau berserta
dengan kaedah-kaedah buatan tambahan yang tidak dijumpai, yang boleh
digunakan bagi mengubah pinda, atau memudahkan pengubah pindaan, indeks mana-mana meter atau alat yang digunakan bagi mencatatkan kuantiti elektrik yang dibekalkan;

(b) kewujudan kaedah-kaedah buatan, sama ada bersendirian atau berserta
 dengan kaedah-kaedah buatan tambahan yang tidak dijumpai, yang akan
 menghalang, atau memudahkan penghalangan, mana-mana meter atau  
 alat daripada mencatatkan dengan sempurnanya, kuantiti elektrik yang  
 dibekalkan, atau yang akan memudahkan pengambilan,
 penggunahabisan, atau penggunaan elektrik dengan curang; atau

(c) (i) pemasangan apa-apa kaedah mekanik atau kaedah lain pada;

(ii) ketiadaan atau pengalihan apa-apa bahagian atau sambungan
     daripada; atau

(iii) penggangguan apa-apa bahagian atau sambungan,

apa-apa radas mengikut hal keadaan yang pemasangan, ketiadaan, pengalihan atau penggangguan itu akan menghalang atau memudahkan penghalangan mana-mana meter atau alat lain daripada mencatatkan dengan sempurnanya kuantiti elektrik yang dibekalkan, atau yang akan memudahkan pengambilan, penggunahabisan atau penggunaan elektrik dengan curang,
hendaklah menjadi keterangan prima facie bahawa telah ada pengubah pindaan dengan curang indeks mana-mana meter atau alat, atau penghalangan, pengambilan, penggunahabisan atau penggunaan elektrik dengan curang, mengikut mana-mana yang berkenaan; dan

(A) bahawa pengubah pindaan, penghalangan, pengambilan,
 penggunahabisan atau penggunaan dengan curang itu, mengikut mana-
 mana yang berkenaan, telah dijalankan oleh—

(a) orang yang memasang bahagian atau sambungan buatan, mekanik
atau apa-apa bahagian atau sambungan lain seperti yang disebut terdahulu;

(b) orang yang mengalihkan mana-mana bahagian atau sambungan
     seperti yang disebut terdahulu;

(c) orang yang mengganggu mana-mana bahagian atau sambungan
     seperti yang disebut terdahulu;
(d) pengguna yang menggunakan meter atau alat itu;

(e) orang yang mempunyai kawalan ke atas pepasangan di mana ia
     terpasang; atau

(f) penduduk premis yang padanya meter atau alat itu dipasang; atau

(B) bahawa orang atau pengguna itu telah bersubahat melakukan kesalahan
mengubah pinda, menghalang, mengambil, mengguna habis atau  mengguna itu, mengikut mana-mana yang berkenaan.


41.   Pampasan kerana kerosakan

   (1) Mana-mana orang yang mengalihkan, memusnahkan atau merosakkan sama ada dengan sengaja atau selainnya, apa-apa pepasangan atau mana-mana bahagiannya, atau mana-mana lampu awam atau mana-mana tiang, pendakap atau kaedah lain bagi menopangkan lampu awam, atau mana-mana alat yang digunakan berkaitan dengan mana-mana pepasangan untuk merekodkan keluaran atau penggunahabisan elektrik, boleh, sebagai tambahan kepada apa-apa penalti yang boleh dikenakan ke atasnya di bawah Akta ini, ditanggungkan dengan pembayaran pampasan penuh bagi kerosakan yang telah dilakukannya dan pampasan boleh didapatkan kembali melalui tindakan atau guaman sivil di hadapan mana-mana mahkamah.

(2) Tanpa menjejaskan subseksyen (1), mana-mana mahkamah yang di hadapannya seseorang dipertuduh atas kesalahan di bawah Akta ini boleh menaksirkan pampasan yang kena dibayar di bawah seksyen ini dan boleh membuat suatu perintah bagi pembayaran pampasan itu. Mana-mana perintah sedemikian boleh dikuatkuasakan seolah-olah ia adalah suatu penghakiman di dalam tindakan atau guaman sivil.


42.   Pendakwaan

 Tiada pendakwaan boleh dijalankan bagi sesuatu kesalahan di bawah Akta ini atau apa-apa peraturan yang dibuat di bawah Akta ini kecuali oleh atau dengan kebenaran bertulis Pendakwa Raya.
43.   Pengkompaunan

(1) Menteri boleh, dengan keizinan Pendakwa Raya, membuat peraturan-peraturan untuk menetapkan—

(a) mana-mana kesalahan di bawah Akta ini atau perundangan subsidiarinya
sebagai suatu kesalahan yang boleh dikompaun;

(b) kriteria bagi mengkompaun kesalahan itu; dan

(c) kaedah dan tatacara bagi mengkompaun kesalahan itu.

(2) Suruhanjaya boleh, dengan keizinan secara bertulis Pendakwa Raya, pada bila-bila masa sebelum pertuduhan dimulakan mengkompaun mana-mana kesalahan yang ditetapkan dalam peraturan-peraturan sebagai suatu kesalahan yang boleh dikompaun dengan membuat tawaran bertulis kepada orang yang disyaki dengan munasabah telah melakukan kesalahan itu untuk mengkompaun kesalahan itu apabila dibayar kepada Suruhanjaya jumlah wang yang tidak melebihi lima puluh peratus daripada amaun denda maksimum yang orang itu boleh dikenakan jika dia telah disabitkan atas kesalahan itu, dalam apa-apa tempoh sebagaimana yang dinyatakan dalam tawaran bertulisnya.

(3) Suatu tawaran di bawah subseksyen (2) boleh dibuat pada bila-bila masa selepas kesalahan telah dilakukan tetapi sebelum apa-apa pendakwaan baginya dimulakan, dan jika amaun yang dinyatakan dalam tawaran itu tidak dibayar dalam masa yang dinyatakan dalam tawaran itu, atau apa-apa pelanjutan masa yang boleh diberikan oleh Suruhanjaya, pendakwaan bagi kesalahan itu boleh dimulakan pada bila-bila masa selepas itu terhadap orang yang kepadanya tawaran itu dibuat.

(4) Jika suatu kesalahan telah dikompaun di bawah subseksyen (2), tiada pendakwaan boleh dimulakan berkenaan dengan kesalahan itu terhadap orang yang kepadanya tawaran untuk mengkompaun itu dibuat, dan mana-mana dokumen atau benda yang disita berkaitan dengan kesalahan itu boleh dilepaskan oleh Suruhanjaya, tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang difikirkannya patut.

(5) Semua jumlah wang yang diterima oleh Suruhanjaya di bawah seksyen ini hendaklah dibayar ke dalam dan menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.


44.   Hadiah untuk maklumat

Dalam hal suatu sabitan yang melibatkan denda, mahkamah yang mengenakan denda itu boleh, atas permohonan pegawai yang menjalankan pendakwaan, mengarahkan pembayaran kepada orang yang telah memberi maklumat yang membawa kepada sabitan itu akan apa-apa bahagian denda itu tetapi tidak melebihi setengah daripada denda itu mengikut apa-apa kadar sebagaimana yang difikirkan patut oleh mahkamah.


44A.  Penggunaan talian bekalan, dsb., bagi maksud komunikasi di bawah Akta
          Komunikasi dan Multimedia 1998

(1) Walau apa pun mana-mana peruntukan lain dalam Akta ini dan tertakluk kepada peruntukan seksyen ini dan apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang ditetapkan, mana-mana talian bekalan, sebahagian daripada infrastruktur bekalan elektrik, pepasangan, loji atau kelengkapan boleh digunakan bagi maksud komunikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

(2) Bagi maksud subseksyen (1), Suruhanjaya boleh mengeluarkan kod, garis panduan atau arahan.

(3) Sebelum dan semasa pengendalian komunikasi, mengikut mana-mana yang berkenaan, pemegang lesen, pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestik, pengguna elektrik dan orang yang dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 hendaklah mematuhi apa-apa peraturan, kod, garis panduan dan arahan yang disebut dalam subseksyen (1) dan (2).

(4) Pemegang lesen, pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestik dan orang yang dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 hendaklah bertanggungjawab bagi memastikan bahawa penyediaan atau pengendalian komunikasi itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, mematuhi Akta.
(5) Mana-mana pemunya atau penduduk suatu pepasangan elektrik di premis kediaman atau pengguna elektrik boleh memilih untuk menjadi pengguna atau selainnya bagi perkhidmatan komunikasi yang disediakan oleh orang yang dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang hendaklah mendapatkan persetujuan yang nyata daripada pemunya atau penduduk atau pengguna itu sebelum menyediakan perkhidmatan komunikasi.

(6) Walau apa pun mana-mana peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mana-mana pemegang lesen atau orang yang dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang tidak mematuhi mana-mana peruntukan seksyen ini melakukan suatu kesalahan.


BAHAGIAN IXA
KUMPULAN WANG INDUSTRI ELEKTRIK


44B. Sumbangan oleh pemegang lesen

 (1) Seseorang pemegang lesen hendaklah, jika dikehendaki oleh Menteri di bawah mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini atau melalui perintah yang disiarkan dalam Warta menurut syor yang dibuat oleh Suruhanjaya, menguntukkan dan membayar ke dalam Kumpulan Wang Industri Elektrik, mengikut apa-apa cara dan pada apa-apa kadar sebagaimana yang ditetapkan dalam peraturan-peraturan atau perintah itu.

(2) Atas syor Suruhanjaya, Menteri boleh menggantung atau membatalkan kehendak yang dibuat di bawah subseksyen (1)


44C.  Kumpulan Wang Industri Elektrik

  (1) Suatu Kumpulan Wang yang dikenali sebagai “Kumpulan Wang Industri Elektrik” ditubuhkan dan hendaklah ditadbirkan dan dikawal oleh Suruhanjaya.

(2) Kumpulan Wang Industri Elektrik hendaklah terdiri daripada—

(a) apa-apa jumlah wang yang diuntukkan dan dibayar oleh pemegang lesen
     menurut seksyen 44b;

(b) apa-apa jumlah wang yang diuntukkan oleh Parlimen bagi maksud
          Kumpulan Wang Industri Elektrik dari semasa ke semasa;

(c) semua wang yang diperoleh sebagai pendapatan daripada pelaburan
yang dibuat daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik, termasuk faedah pendapatan; dan

(d) semua wang lain yang diterima secara sah oleh Suruhanjaya bagi pihak
     Kumpulan Wang Industri Elektrik.

(3) Kumpulan Wang Industri Elektrik hendaklah dibelanjakan bagi maksud yang berikut:

(a) untuk menguruskan impak tarif elektrik terhadap pengguna; atau

(b) apa-apa maksud lain yang berkaitan dengan industri elektrik sebagaimana
     yang disifatkan perlu oleh Suruhanjaya.


44D.   Pelaburan
    
   (1) Wang dalam Kumpulan Wang Industri Elektrik hendaklah, setakat yang tidak dikehendaki atau tidak dengan serta-merta dikehendaki untuk dibelanjakan oleh Suruhanjaya bagi maksud subseksyen 44c(3), dilaburkan mengikut apa-apa cara sebagaimana yang diluluskan oleh Menteri dengan persetujuan Menteri Kewangan.

(2) Suruhanjaya hendaklah membuka dan menyenggara suatu akaun atau akaun-akaun untuk memegang wang dalam Kumpulan Wang Industri Elektrik dengan mana-mana bank atau bank-bank di Malaysia sebagaimana yang difikirkan patut oleh Suruhanjaya, selepas berunding dengan Menteri dan Menteri Kewangan, dan tiap-tiap akaun itu hendaklah dikendalikan mengikut apa-apa cara sebagaimana yang dibenarkan oleh Suruhanjaya bagi maksud itu dari semasa ke semasa.


44E.   Akaun

(1) Suruhanjaya hendaklah menyebabkan supaya disimpan akaun yang sepatutnya bagi Kumpulan Wang Industri Elektrik dan laporan yang sepatutnya mengenai aktivitinya berkenaan dengan Kumpulan Wang itu dan hendaklah, dengan secepat yang dapat dilaksanakan selepas berakhirnya tahun kewangan Suruhanjaya, menyebabkan supaya disediakan bagi tahun kewangan itu—

(a) suatu penyata akaun yang hendaklah termasuk kunci kira-kira dan akaun
     bagi sumbangan dan perbelanjaan; dan

(b) suatu pernyataan mengenai aktivitinya.

(2) Suruhanjaya hendaklah dengan secepat yang dapat dilaksanakan menghantar suatu salinan penyata akaun yang diperakui oleh juruaudit dan salinan laporan juruaudit kepada Menteri yang hendaklah menyebabkannya dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.”.



BAHAGIAN X
AM


45.   Langkah awasan semasa melaksanakan kerja

(1) Pelaksanaan semua kerja berkaitan dengan penjanakuasaan atau pembekalan elektrik yang boleh menyentuh apa-apa lebuh, rel keretapi, landasan trem, sungai, terusan atau laluan air lain atau apa-apa sistem pengairan, penyaliran atau bekalan air atau apa-apa kerja pelabuhan atau kerja awam atau persendirian lain, dan pendirian apa-apa lintasan talian bekalan, sama ada overhed atau bawah tanah, hendaklah dijalankan mengikut cara yang ditetapkan dan tanpa menjejaskan keselamatan awam atau persendirian.

(2) Mana-mana orang yang melanggar atau gagal mematuhi seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta.

45A.   Pengauditan pemegang lesen, pemunya atau pengendali pepasangan        
          elektrik bukan domestik

(1) Suruhanjaya boleh menjalankan audit pada bila-bila masa atau pada apa-apa lat tempoh sebagaimana yang ditentukan olehnya menghendaki seseorang pemegang lesen atau pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestik untuk melantik dengan kos ditanggung sendiri seorang pakar bebas untuk mengaudit apa-apa perkara di bawah Bahagian IV dan keselamatan pepasangan dan kelengkapan di bawah Bahagian VIIa Akta ini atau apa-apa maklumat yang diberikan oleh pemegang lesen atau pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestik kepada Suruhanjaya.

(2) Audit hendaklah dijalankan dengan mengikut mana-mana kod, garis panduan atau arahan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya di bawah Akta ini.

(3) Suruhanjaya boleh menentukan kelas atau kategori pemegang lesen atau pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestik yang tertakluk kepada audit.

(4) Pemegang lesen atau pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestik hendaklah membuktikan sehingga memuaskan hati Suruhanjaya bahawa pakar bebas yang disebut dalam subseksyen (1) mempunyai kelayakan dan kekompetenan yang perlu.

(5) Pemegang lesen atau pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestik itu hendaklah mengemukakan suatu salinan laporan audit itu kepada Suruhanjaya dalam masa yang dinyatakan oleh Suruhanjaya.

(6) Pemegang lesen atau pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestik yang—

(a) gagal memberikan apa-apa maklumat sebagaimana yang dikehendaki
     oleh Suruhanjaya di bawah seksyen 52b;

(b) dengan sengaja mengubah, menyembunyikan atau memusnahkan apa-
apa dokumen atau maklumat yang dia dikehendaki untuk mengemukakan melalui notis bertulis; atau
(c) enggan untuk membantu atau memudahkan, atau menghalang
Suruhanjaya, pegawai diberi kuasanya atau perunding yang dilantik dalam menjalankan sesuatu pengauditan di bawah seksyen ini,

melakukan suatu kesalahan.


45B.   Penentuan standard pepasangan atau kelengkapan

Suruhanjaya boleh menentukan standard yang boleh dipakai bagi apa-apa pepasangan atau kelengkapan dan standard itu sebagaimana yang ditetapkan dalam apa-apa peraturan, kod atau garis panduan yang dibuat atau dikeluarkan di bawah Akta ini.


45C.   Penyimpanan rekod dan dokumen

Seseorang pemegang lesen, pemunya dan pengendali pepasangan elektrik bukan domestik, pengilang atau pengimport berdaftar, unit pendawaian persendirian berdaftar, kontraktor perkhidmatan elektrik berdaftar, kontraktor tanda elektrik berdaftar, pengilang papan suis berdaftar, kontraktor elektrik berdaftar, pusat latihan dan pemeriksaan berdaftar atau institusi dan badan penilaian pematuhan berdaftar hendaklah menyimpan rekod dan dokumen berkenaan dengan perkara dan bagi tempoh masa yang ditetapkan.”.


46.  Gangguan elektrik terhadap talian pengisyaratan Kerajaan
(1) Jika Suruhanjaya berpuas hati bahawa pengerjaan atau pengendalian apa-apa pepasangan infrastruktur pemeteran, telepemeteran, aplikasi komunikasi atas talian bekalan, menyebabkan gangguan elektrik terhadap mana-mana proses atau litar komunikasi atau proses atau litar pengisyarat elektrik lain yang dipunyai atau dikendalikan oleh atau bagi pihak Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri, atau mana-mana pihak berkuasa bekalan, Suruhanjaya hendaklah meminta pemunya atau pemegang lesen memberhentikan gangguan itu, dan jika, dalam tempoh empat belas hari atau apa-apa tempoh yang lebih lama sebagaimana yang didapati munasabah oleh Suruhanjaya mengikut apa-apa hal keadaan tertentu, gangguan itu tidak diberhentikan dengan berkesan, Suruhanjaya hendaklah melaporkan perkara itu kepada Menteri yang boleh menurut budi bicaranya—
(a) dalam hal pepasangan berlesen, memerintahkan penggantungan lesen;

(b) dalam hal pepasangan tidak berlesen, melalui perintah, melarang pengerjaan            atau pengendalian pepasangan itu; atau

(c) dalam hal mana-mana pepasangan lain, melalui perintah, melarang     
    pengerjaan atau pengendalian apa-apa bahagian pepasangan itu yang
menyebabkan gangguan elektrik itu,

sehinggalah perkiraan bagi menghalang berlakunya semula gangguan elektrik seperti yang disebut terdahulu telah dibuat sehinggakan memuaskan hati Suruhanjaya, dan jika, dalam hal pepasangan berlesen, tiada perkiraan sedemikian telah dibuat, Menteri boleh memerintahkan supaya lesen bagi pepasangan tersebut dibatalkan dengan mutlaknya.

(2) Bagi apa-apa kerugian yang ditanggung oleh pemegang lesen kerana penggantungan atau pembatalan lesen di bawah seksyen ini, pemegang lesen boleh menuntut pampasan daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau mana-mana pihak berkuasa bekalan, mengikut mana-mana yang berkenaan:
Dengan syarat bahawa tiada tuntutan boleh dibenarkan dan tiada pampasan boleh dibayar jika gangguan elektrik yang disebut dalam subseksyen (1) telah disebabkan oleh suatu pepasangan yang tidak mematuhi mana-mana peraturan mengenai pengawalseliaan gangguan elektrik yang dibuat di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa berhubungan dengan telegraf.
(3) Jika tuntutan itu dibenarkan, pampasan hendaklah, melainkan jika diselesaikan melalui persetujuan bersama di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau pihak berkuasa bekalan, mengikut mana-mana yang berkenaan, dengan pemegang lesen, ditentukan melalui timbang tara.

47.   Langkah awasan terhadap elektrik atmosfera
Mana-mana jabatan Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri atau mana-mana pengguna lain yang mengambil atau menggunakan elektrik daripada mana-mana pepasangan hendaklah, jika Suruhanjaya menghendaki sedemikian, memperuntukkan apa-apa kaedah bagi menghindarkan apa-apa risiko kerosakan kepada pepasangan itu melalui elektrik atmosfera sebagaimana yang diarahkan oleh Suruhanjaya atau sebagaimana yang ditetapkan melalui peraturan-peraturan di bawah Akta ini.

48.   Sekatan terhadap sambungan dengan bumi
(1) Tiada seorang pun boleh, semasa penjanakuasaan, penghantaran, pembekalan atau penggunaan elektrik, membenarkan mana-mana bahagian talian bekalannya disambungkan dengan bumi kecuali sebagaimana yang ditetapkan melalui peraturan-peraturan di bawah Akta ini yang diperuntukkan dalam kod yang berkaitan yang dikeluarkan di bawah Akta ini atau dibenarkan dengan nyata oleh Suruhanjaya.
(2) Sekiranya berlaku pelanggaran subseksyen (1), Suruhanjaya boleh melalui perintah bertulis menghendaki pemegang lesen atau pemunya mengalihkan sambungan itu dan boleh melarang penggunaan mana-mana talian atau kerja bekalan atau pepasangan sehinggalah perintah itu dipatuhi, dan tiap-tiap perintah sedemikian hendaklah dipatuhi oleh orang berkenaan.

49.  Tatacara dalam hal kecacatan berbahaya pada pepasangan atau   
       bahagiannya

 (1) Sekiranya Suruhanjaya mendapati bahawa ada apa-apa kecacatan pada pepasangan atau bahagiannya yang pada pendapat Suruhanjaya berkemungkinan menyebabkan bahaya, Suruhanjaya boleh, melalui notis bertulis yang disampaikan kepada pemegang lesen atau pemunya, atau jika pemegang lesen atau pemunya itu tidak dapat dijumpai, ditampalkan di tempat di mana pepasangan itu terletak, menghendaki kecacatan itu dibaiki atau dihapuskan dalam apa-apa tempoh sebagaimana yang dinyatakan dalam notis itu, dan dalam hal sedemikian, pepasangan itu atau bahagiannya tidakboleh dikendalikan atau digunakan se1epas habisnya tempoh yang dinyatakan melainkan jika kecacatan itu te1ah dibaiki atau dihapuskan sehingga memuaskan hati Suruhanjaya:

Dengan syarat bahawa, jika Suruhanjaya berpendapat bahawa kecacatan itu mungkin menyebabkan bahaya yang hampir benar berlaku, Suruhanjaya boleh, melalui notis yang ditampalkan atau disampaikan seperti yang disebut terdahulu, dengan serta-merta menggantungkan pengendalian dan penggunaan pepasangan itu, dan jika perlu, melakkan pepasangan itu atau bahagiannya sehingga kecacatan itu dibaiki atau dihapuskan. Pepasangan itu atau bahagiannya tidak boleh dikendalikan atau digunakan selagi notis penggantungan itu belum dibatalkan dan lak itu tidak dialihkan oleh pegawai diberi kuasa.

(2) Tiap-tiap pemegang lesen dan tiap-tiap pihak pengurusan dan orang yang menjaga mana-mana pepasangan apabila menyedari akan apa-apa kecacatan padanya yang mungkin menyebabkan bahaya hendaklah dengan serta-merta membaiki atau menghapuskan kecacatan itu, dan tiap-tiap pengguna apabila menyedari akan apa-apa kecacatan pada apa-apa kelengkapan yang mungkin menyebabkan bahaya hendaklah dengan serta-merta membaiki atau menghapuskankecacatan itu, atau membuat laporan mengenainya kepada Suruhanjaya.

(3) Jika pada pendapat Suruhanjaya bahawa apa-apa kecacatan pada pepasangan yang berkenaan dengannya sesuatu lesen berkuat kuasa adalah dari jenis yang tidak boleh dibaiki atau dihapuskan, Suruhanjaya hendaklah mengadakan suatu siasatan dan, jika didapati oleh Suruhanjaya perlu berbuat demikian, hendaklah mengkanselkan lesen itu.

(4) Pemegang lesen atau pemunya tidak berhak kepada pampasan bagi apa-apa kerugian yang ditanggung oleh pemegang lesen atau pemunya kerana penggantungan pengendalian dan penggunaan, dan pelakan apa-apa pepasangan atau bahagiannya atau kerana penggantungan atau pengkanselan lesen di bawah seksyen ini.

(5) Mana-mana orang yang melanggar atau gagal mematuhi subseksyen (1) dan (2) adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta ini.


50.   Larangan mengambil kanak-kanak bekerja

 (1) Tiada pemegang lesen atau pihak pengurusan boleh mengambil kerja atau membenarkan diambil kerja mana-mana orang di bawah umur enam belas tahun dalam mana-mana perkhidmatan yang melibatkan pengurusan atau penjagaan atau kedekatan dengan, kelengkapan hidup yang tidak ditebat dengan sempurna.

(2) Mana-mana orang yang melanggar seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan, apabila disabitkan, denda tidak melebihi lima ribu ringgit.


50A.   Pembangunan kod oleh Suruhanjaya dan pematuhan baginya

(1) Suruhanjaya boleh, dengan kelulusan Menteri, membangunkan dan mengeluarkan kod yang berhubungan dengan penjanakuasaan, penghantaran, pengagihan, pembekalan dan penggunaan elektrik dan bagi keselamatan elektrik.

(2) Suruhanjaya boleh membangunkan dan mengeluarkan apa-apa kod tambahan sebagaimana yang disifatkannya patut dan suai manfaat atau sebagaimana yang diarahkan oleh Menteri dari semasa ke semasa, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(3) Semua kod yang dibangunkan dan dikeluarkan menurut seksyen ini hendaklah berkuat kuasa hanya apabila didaftarkan oleh Suruhanjaya.

(4) Semua pemegang lesen, pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestik hendaklah mematuhi kod itu.

(5) Melainkan jika ditentukan selainnya oleh Suruhanjaya, dalam memastikan kebolehpercayaan, keselamatan dan keterjaminan rangkaian elektrik, kod yang dikeluarkan di bawah seksyen ini hendaklah mengatasi mana-mana perjanjian yang mungkin wujud antara pihak-pihak yang disebut dalam subseksyen (4).


50B.   Penahanan dokumen oleh Suruhanjaya

(1) Mana-mana pemegang lesen, pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestik apabila diarahkan oleh Suruhanjaya hendaklah memberikan dokumen kepada Suruhanjaya, dan jika tidak berbuat demikian Suruhanjaya boleh mengambil milikan dokumen itu.

(2) Apa-apa dokumen yang diberikan atau yang diambil oleh Suruhanjaya di bawah subseksyen (1) boleh ditahan seberapa lama yang perlu oleh Suruhanjaya.

(3) Orang yang selainnya berhak kepada milikan dokumen itu berhak untuk dibekalkan, dengan secepat yang dapat dilaksanakan, dengan salinan yang diperakui oleh Suruhanjaya sebagai suatu salinan sah.

(4) Sehingga suatu salinan terperaku dibekalkan, Suruhanjaya boleh, pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat yang difikirkan sesuai oleh Suruhanjaya, membenarkan orang yang selainnya berhak kepada milikan dokumen itu atau orang yang diberi kuasa oleh orang itu, untuk memeriksa dan membuat salinan atau mengambil cabutan daripada dokumen itu.

(5) Jika Suruhanjaya berpuas hati bahawa penahanan dokumen itu tidak lagi diperlukan, Suruhanjaya boleh mengembalikan dokumen itu dengan secepat yang dapat dilaksanakan kepada orang yang memberikan dokumen itu di bawah subseksyen (1).


50C.   Garis panduan atau arahan oleh Suruhanjaya

(1) Suruhanjaya boleh, dari semasa ke semasa, mengeluarkan garis panduan atau arahan mengenai apa-apa perkara sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta ini kepada mana-mana pemegang lesen, pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestik, pengilang atau pengimport berdaftar, orang kompeten atau mana-mana orang.

(2) Suruhanjaya boleh, dari semasa ke semasa, mengeluarkan apa-apa arahan secara bertulis kepada mana-mana pemegang lesen, pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukandomestik, pengilang atau pengimport berdaftar, orang kompeten atau mana-mana orang mengenai pematuhan atau ketidakpatuhan Akta atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini, syarat lesen, termasuk meremedikan pelanggaran syarat lesen atau mengenai apa-apa perkara lain yang menghendaki suatu arahan dibuat atau secara khususnya dibuat menjadi subjek arahan di bawah Akta ini mengikut tatacara yang ditetapkan.

(3) Garis panduan atau arahan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya di bawah seksyen ini hendaklah didaftarkan dan hendaklah berkuat kuasa dari tarikh pendaftaran atau apa-apa tarikh yang kemudian sebagaimana yang dinyatakan oleh Suruhanjaya dalam garis panduan atau arahan itu.

(4) Seorang pemegang lesen atau pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestik, pengilang atau pengimport berdaftar, orang kompeten atau mana-mana orang hendaklah mematuhi garis panduan dan arahan itu.


50D.  Perubahan, kajian semula atau pembatalan kod, garis panduan atau
          arahan oleh Suruhanjaya

(1) Suruhanjaya boleh mengubah, mengkaji semula atau membatalkan apa-apa kod, garis panduan atau arahan yang dikeluarkan di bawah Akta ini.

(2) Tatacara yang dinyatakan dalam subseksyen 50c(3) dan (4) hendaklah terpakai berkenaan dengan apa-apa perubahan, kajian semula atau pembatalan kod, garis panduan atau arahan itu.


50E.  Kesalahan bagi ketidakpatuhan kod, garis panduan atau arahan
         Suruhanjaya

Seseorang yang tidak mematuhi mana-mana kod, garis panduan atau arahan Suruhanjaya yang dikeluarkan di bawah Akta ini, melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.


50F.   Daftar kod, garis panduan atau arahan

Suruhanjaya hendaklah menyenggara suatu daftar bagi semua kod, garis panduan atau arahan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya di bawah Akta ini, termasuk apa-apa perubahan, kajian semula atau pembatalan kod, garis panduan atau arahan itu.


51.  Kuasa khas darurat

(1) Yang di-Pertuan Agong boleh apabila berlakunya apa-apa kerusuhan perindustrian, mogok, sekat masuk atau apa-apa kejadian lain yang membangkitkan suatu darurat, atau bagi kepentingan keselamatan awam, memberi kuasa Suruhanjaya untuk—

(a) menggantungkan lesen mana-mana pemegang lesen, mengambil milikan
sementara mana-mana pepasangan pemegang lesen itu dan mengendalikannya mengikut cara sebagaimana yang difikirkan oleh Suruhanjaya patut; atau

(b) menarik balik sama ada sebahagiannya atau keseluruhannya penggunaan
mana-mana pepasangan atau kemudahan daripada mana-mana orang atau golongan orang atau daripada orang awam pada umumnya.

(2) Jika apa-apa keraguan berbangkit tentang kewujudan sesuatu darurat atau sama ada apa-apa tindakan yang dilakukan di bawah subseksyen (1) adalah bagi kepentingan keselamatan awam, suatu perakuan yang ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong dan dipamerkan di mana-mana tempat sebagaimana yang difikirkan wajar oleh Menteri, hendaklah menjadi bukti konklusif mengenai perkara itu.


52.  Kuasa untuk mengisytiharkan sumber air

(1) Pihak Berkuasa Negeri di mana-mana Negeri, boleh, atas permintaan Suruhanjaya bagi pihak mana-mana pemegang lesen, melalui perintah mengisytiharkan mana-mana tasik, sungai atau laluan air atau mana-mana bahagiannya sebagai sumber air bagi maksud pemegang lesen sebagaimana yang dinyatakan dalam terma dan syarat lesennya dan, apabila membuat perisytiharan itu, Pihak Berkuasa Negeri boleh mengenakan apa-apa syarat dan sekatan yang difikirkannya patut.

(2) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis, tiada seorang pun boleh mengempangkan atau selainnya mengganggu mana-mana sumber air sedemikian tanpa terlebih dahulu menyampaikan kepada pemegang lesen sama ada secara sendiri atau melalui pos berdaftar suatu notis tiga bulan, dalam apa-apa bentuk yang ditetapkan, yang menyatakan kerja yang hendak diusahakannya.

(3) Pada bila-bila masa sebelum habisnya tempoh masa yang dinyatakan dalam notis itu, pemegang lesen boleh, jika dia mendapati kerja yang disebut dalam subseksyen (2) akan mengganggu secara material fungsinya, melalui notis bertulis yang disampaikan kepada orang itu, sama ada secara sendiri atau melalui pos berdaftar—

(a) melarang orang itu meneruskan kerja itu; atau

(b) boleh mengenakan syarat ke atas pengusahaan kerja itu oleh orang itu.

(4) Mana-mana orang yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil oleh pemegang lesen di bawah subseksyen (3) boleh merayu kepada Pihak Berkuasa Negeri yang keputusannya adalah muktamad.

(5) Mana-mana orang yang—

(a) mengempangkan atau selainnya mengganggu mana-mana sumber air
 yang diisytiharkan di bawah subseksyen (1) tanpa menyampaikan notis
 yang dikehendaki oleh subseksyen (2);

(b) mengusahakan apa-apa kerja yang dilarang di bawah seksyen ini; atau

(c) gagal mematuhi mana-mana syarat yang dikenakan di bawah seksyen ini,

adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan, apabila disabitkan, denda tidak melebihi satu ribu ringgit, dan denda tambahan tidak melebihi satu ratus ringgit bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

(6) Walau apa pun apa-apa perisytiharan yang dibuat di bawah subseksyen (1), tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh menyentuh apa-apa lesen yang diberikan tidak kurang daripada dua puluh lima tahun sebelum tarikh perisytiharan itu di bawah mana-mana undang-undang bertulis untuk melencongkan air dari mana-mana tasik, sungai atau laluan air, bagi maksud suatu pepasangan awam, yang pemegangnya belum, pada pendapat Pihak Berkuasa Negeri, menggunakan dengan munasabah hak yang berbangkit daripada lessen yang berkaitan dengan mana-mana tasik, sungai, laluan air atau bahagiannya yang diisytiharkan sebagai sumber air bagi maksud pepasangan itu.


52A.  Jaminan maklumat infrastruktur bekalan

(1) Mana-mana pemegang lesen sebagaimana yang diarahkan oleh Suruhanjaya yang menyediakan bekalan elektrik kepada pengguna hendaklah bertanggungjawab bagi memelihara kerahsiaan, keutuhan dan ketersediaan maklumatnya, sistem maklumat dan infrastruktur rangkaian sokongan yang berkenaan dengan kewajipan dan perkara-perkara lain sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta ini.

(2) Pemegang lesen hendaklah—

(a) mengambil langkah-langkah yang perlu, mewujudkan dan melaksanakan
standard dan menggunakan kawalan jaminan maklumat yang berkaitan untuk menghalang, mengelakkan, meremedikan, mendapatkan kembali atau meletakkan semula maklumat, dokumen, alat atau rekodnya yang disimpan dalam komputernya dan bagi sistem pengendalian komputernya daripada apa-apa risiko—

(i) ancaman atau akses tanpa kebenaran; dan

(ii) gangguan atau penyingkiran;

(b) mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan ketahanan
infrastruktur rangkaian sokongannya untuk mengurangkan impak perniagaan terhadap pelbagai ancaman kepada aktiviti di bawah lesennya; dan

(c) memastikan bahawa kebolehpercayaan, keberterusan dan kualiti bekalan   
elektrik, pelaksanaan kewajipannya dan kepatuhan kepada peruntukan Akta ini dan mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya tidak terjejas,
dan hendaklah melaporkan kepada Suruhanjaya dalam masa yang dinyatakan oleh Suruhanjaya, dan sekiranya berlaku apa-apa kejadian yang menggangu atau menjejaskan prestasi aktiviti di bawah lesen, melaporkan kejadian itu dengan segera kepada Suruhanjaya dan pihak berkuasa lain yang berkaitan.

(3) Mana-mana pemegang lesen yang tidak mematuhi, mengabaikan untuk mematuhi atau melanggar mana-mana peruntukan seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi tiga ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

(4) Bagi maksud seksyen ini—

“infrastruktur rangkaian sokongan” merujuk kepada sambungan yang berkaitan, peranti rangkaian, perkakasan dan perisian yang menyediakan perkhidmatan rangkaian dalam menyokong fungsi perniagaan;
“kawalan jaminan maklumat” merujuk kepada cara pengurusan risiko, termasuk dasar, tatacara, garis panduan, amalan atau struktur organisasi, yang boleh dari jenis pentadbiran, teknikal, pengurusan atau perundangan;

“ketahanan” ertinya kebolehan sesuatu organisasi untuk menahan daripada terjejas oleh sesuatu kejadian.


52b.   Obligasi untuk memberikan maklumat

 (1) Suruhanjaya boleh memberi kuasa mana-mana pegawai untuk mendapatkan apa-apa maklumat yang berkenaan dengan pemegang lesen atau mana-mana orang lain di bawah Akta ini dan hendaklah diberi capaian kepada apa-apa maklumat sama ada disimpan dalam suatu komputer atau selainnya.


(2) Mana-mana pegawai yang diberi kuasa oleh Suruhanjaya di bawah subseksyen (1), hendaklah mempunyai kuasa untuk menghendaki pengemukaan rekod, akaun, data, data berkomputer dan dokumen yang disimpan oleh pemegang lesen atau mana-mana orang lain dan untuk memeriksa, meneliti dan memuat turun daripadanya, membuat salinannya atau mengambil cabutan daripadanya.

(3) Bagi maksud seksyen ini, “capaian” termasuklah diberi kata laluan, kod penyulitan, kod penyahsulitan, perisian atau perkakasan yang perlu dan apa-apa cara lain yang dikehendaki untuk membolehkan data berkomputer difahami.

(4) Mana-mana orang yang enggan memberikan apa-apa maklumat yang dengan munasabahnya mungkin dikehendaki daripadanya di bawah subseksyen (1) dan yang ada dalam pengetahuannya atau dalam kuasanya untuk memberikan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.


BAHAGIAN XI
KUASA UNTUK MEMBUAT PERATURAN-PERATURAN


53.  Kuasa untuk membuat peraturan-peraturan

(1) Menteri boleh membuat peraturan-peraturan berkenaan dengan mana-mana perkara yang ditetapkan di bawah Akta ini dan khususnya—

(a) tatacara bagi Suruhanjaya dalam menjalankan fungsi, kewajipan dan
 kuasanya di bawah Akta ini;

(b) lat-lat tempoh, waktu dan cara bagaimana apa-apa pepasangan atau
kelengkapan hendak diperiksa, notis (jika ada) yang hendak diberi berhubungan dengan pemeriksaan dan persediaan yang hendak dibuat oleh pemegang lesen atau mana-mana pihak pengurusan untuk pemeriksaan;

(c) standard dan spesifikasi minimum yang hendak digunakan dalam reka
     bentuk, pembinaan, perlindungan dan penyenggaraan pepasangan dan   
     kelengkapan, syarat yang di bawahnya apa-apa pepasangan atau   
     kelengkapan hendak dikerjakan atau dikendalikan dan larangan ke atas
     penggunaan kelengkapan berbahaya;

(d) cara bagaimana elektrik hendak disukat dan standard sukatan yang
     hendak digunakan dan cara bagaimana elektrik dibenarkan atau dilarang    
     dibekalkan atau digunakan;

(e) standard yang hendak diterima pakai bagi pengukuran dimensi mana-
     mana pepasangan atau kelengkapan;


(f) cara pengawalseliaan dan had perubahan jenis, voltan dan frekuensi
    elektrik yang dibekalkan;

(g) kelas atau reka bentuk dawai, lekapan dan kelengkapan yang hendak
digunakan dan cara bagaimana dawai, lekapan dan kelengkapan itu hendak didirikan, dipasang, disusun, dilindungi, dikawal, diperiksa, diuji dan disenggarakan;

(h) fi yang kena dibayar bagi lesen dan Perakuan Pendaftaran pepasangan
     dan apa-apa fi lain yang dikehendaki ditetapkan di bawah Akta ini;

(i) bentuk dan tempoh kesahan Perakuan Pendaftaran dan syarat bagi
    penggantungan, perlanjutan dan pembatalan Perakuan Pendaftaran;

(j) kelayakan minimum yang perlu dimiliki oleh seseorang sebelum dia boleh
diamanahkan dengan pereka bentukan, pembinaan, pendirian, pengujian, pengendalian, penyenggaraan, pembaikan atau pengubah pindaan apa-apa pepasangan, loji atau kelengkapan atau dengan jagaan, kawalan atau kendalian mana-mana pepasangan, loji atau kelengkapan;

(k) jenis ujian yang hendak digunakan bagi menentukan sama ada mana-
mana orang yang memiliki kelayakan perlu yang ditetapkan bagi maksud kawalan kompeten dan maksud lain, dan pengeluaran, penggantungan atau pembatalan perakuan kekompetenan, dan untuk menetapkan fi yang kena dibayar bagi ujian dan perakuan sedemikian;

(l) pendaftaran dan pengelasan unit pendawaian persendirian, kontraktor
elektrik, kontraktor perkhidmatan elektrik, kontraktor pembaikan elektrik, kontraktor tanda elektrik, pengilang papan suis dan orang kompeten, dan untuk menetapkan fi bagi pendaftaran sedemikian;

(m) langkah-langkah yang hendak diambil dan kelengkapan yang hendak
dibekalkan dan digunakan berkaitan dengan pepasangan untuk menjaminkan keselamatan awam dan persendirian;

(n) langkah-langkah awasan yang hendak diambil untuk melepaskan mana-
mana orang daripada mengawal apa-apa pepasangan, loji atau kelengkapan dan cara memberitahu Suruhanjaya mengenai nama dan kelayakan mana-mana orang yang ditempatkan untuk mengawal mana-mana pepasangan dan mengenai pengendalian mana-mana loji atau kelengkapan;

(o) cara mengira keupayaan apa-apa sistem, pepasangan, kelengkapan,
     kabel, penjana kuasa dan/atau motor;

(p) cara menentukan pertikaian, mengadakan siasatan dan timbang tara di
     bawah Akta ini;

(q) bentuk notis dan cara penyampaiannya;

(r) taksiran dan kelulusan, di mana-mana perlu, apa-apa kelengkapan
domestik atau kelengkapan lain yang hendak dikilangkan, diimport, dipamerkan, dijual, diiklankan, dipasang atau digunakan dan untuk menetapkan fi yang kena dibayar mengenainya;

(s) peruntukan bagi pemegang lesen mengenai perkara yang berkenaan
     dengan—

(i) pemeriksaan mana-mana pepasangan atau bahagiannya;

(ii) pendirian dan pemasangan lampu awam;

(iii) pemotongan pembekalan elektrik; dan

(iv) apa-apa perkara lain yang berkaitan dengannya;

(t) pengemukaan pernyataan kewangan dan laporan teraudit oleh pemegang
    lesen itu;

(u) cara pelaksanaan kerja yang berkaitan dengan penjanakuasaan atau
pembekalan elektrik tanpa menjejaskan keselamatan awam atau persendirian;

(v) kaedah-kaedah yang hendak diterima pakai sama ada melalui larangan
atau selainnya, untuk mencegah atau memberhentikan apa-apa kacau ganggu yang mungkin berbangkit atau yang berbangkit daripada pengerjaan mana-mana pepasangan, loji atau kelengkapan;

(w) fi yang kena dibayar berkenaan dengan pemeriksaan, pengujian dan
penyenggaraan pepasangan dan radas pengguna, berkenaan dengan pemasangan dan pengujian meter, dan berkenaan dengan apa-apa perkhidmatan lain yang diberikan dengan sewajarnya kerana pengguna;

(x) pengawalseliaan perhubungan di antara pemegang lesen dan pengguna,
misalnya peruntukan mengenai pendapatan kembali caj bagi pembekalan termasuk apa-apa surcaj bagi pembayaran lewat, bunga tahunan yang kena dibayar oleh seseorang pemegang lesen kepada mana-mana orang bagi apa-apa cagaran yang diberikan dan apa-apa kadar atau syarat yang berkaitan dengannya, penyambungan, pemotongan dan pemulangan bekalan elektrik oleh pemegang lesen, kemasukan ke dalam mana-mana premis oleh pemegang lesen atau pegawai diberikuasanya bagi maksud yang berhubungan dengan pembekalan, penyambungan, pemotongan atau pemulangan bekalan, kemasukan bagi maksud menggantikan, membaiki atau mengubah pinda mana-mana talian elektrik atau loji atau kelengkapan elektrik dan bentuk apa-apa notis yang dikehendaki;

(xa) standard, spesifikasi, amalan dan langkah yang hendaklah diterima dan
diamalkan dan apa-apa perkara lain yang berhubungan dengan penggunaan elektrik dengan cekap;

(xb) standard, spesifikasi, amalan dan langkah yang hendak digunakan dan  
       apa-apa perkara lain yang berhubungan dengan kualiti kuasa;
(xc) perkara yang berhubungan dengan pemeteran, pemeteran prabayar,
infrastruktur pemeteran, telepemeteran, kelengkapan, produk elektrik dan kelengkapan elektrik pengguna;

(xd) perkara yang berhubungan dengan penggunaan talian bekalan bagi
maksud komunikasi sebagaimana yang dinyatakan di bawah seksyen 44a;

(xe) berkenaan dengan import dan pengilangan kelengkapan elektrik
pengguna, pendaftaran pengimport dan pengilang dan badan penilaian pematuhan yang berkenaan dengan kelengkapan elektrik pengguna, pusat latihan dan pemeriksaan atau institusi dan menetapkan apa-apa fi pendaftaran;

(xf) perkara yang berhubungan dengan Kumpulan Wang Industri Elektrik;

(xg) perkara yang berhubungan dengan pelesenan di bawah Akta;

(xh) semua fungsi, kewajipan dan tanggungjawab Pengendali Sistem dan
       Pembeli Tunggal;

(xi) semakan pelan pengurusan keselamatan dan program pengurusan
keselamatan dan bagi audit pemegang lesen dan pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestik;

(xj) fi yang kena dibayar berkenaan dengan penggunaan elektrik dengan
      cekap oleh kelengkapan dan kelulusannya;

(xk) perkara yang berhubungan dengan pendaftaran orang yang
menyediakan perkhidmatan yang berhubungan dengan penggunaan elektrik dengan cekap dan pembayaran fi bagi memproses permohonan dan pendaftaran;

(xl) perkara dan tempoh masa penyimpanan rekod dan dokumen; dan”; dan

(y) apa-apa perkara lain yang pada amnya menguatkuasakan peruntukan
     Akta ini.

(2) Apa-apa peraturan yang dibuat di bawah subseksyen (1) boleh menetapkan apa-apa perbuatan yang melanggar peraturan-peraturan itu menjadi suatu kesalahan dan boleh menetapkan denda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya, bagi kesalahan itu.



BAHAGIAN XII
PELBAGAI


54.    Pengecualian

(1)  Menteri atas syor Suruhanjaya, melalui pemberitahuan dalam Warta mengecualikan daripada mana-mana atau semua peruntukan Akta ini atau mana-mana peraturan atau kod yang dibuat di bawahnya bagi apa-apa tempoh sebagaimana yang dinyatakan —

(a) apa-apa pepasangan, atau bahagiannya, yang dipunyai oleh atau
dikerjakan oleh atau bagi pihak mana-mana pihak berkuasa bekalan atau pemegang lesen;

(b) apa-apa kelas pepasangan, loji atau kelengkapan tertentu lain,

dan boleh, melalui pemberitahuan yang seumpamanya, mengkanselkan apa-apa pengecualian yang diberitahu sedemikian.

(2) Suruhanjaya boleh mengesyorkan kepada Menteri syarat yang boleh terpakai bagi suatu pengecualian yang diberikan di bawah subseksyen (1).

(3) Kecuali diperuntukkan selainnya dalam pengecualian itu, suatu pengecualian di bawah subseksyen (1) boleh diubah atau dibatalkan.


55.   Peruntukan peralihan dan sekatan yang dikenakan pada lesen yang
        dikeluarkan sebelum Akta ini

 (1) Apa-apa lesen bagi mana-mana pepasangan persendirian atau awam yang diberikan kepada mana-mana orang di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang dimasyhurkan sebelum Akta ini hendaklah disifatkan telah diberikan di bawah Akta ini dan hendaklah terus sah sehingga ia dibatalkan di bawah Akta ini dan peruntukan Akta ini hendaklah terpakai kepada orang itu seolah-olah dia adalah pemegang lesen di bawah Akta ini.  

(2) Wa1au apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam mana-mana lesen bagi suatu pepasangan awam yang dikeluarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang dimasyhurkan sebelum Akta ini, tiada pemegang mana-mana lesen sedemikian boleh, tanpa kelulusan terdahulu daripada Suruhanjaya—

(a) memperoleh mana-mana tanah atau bangunan bagi maksud apa-apa
      pepasangan;

(b) memulakan apa-apa skim baru bagi pembekalan elektrik;

(c) memperbesarkan mana-mana pepasangan atau kawasan bekalan yang
     ada; atau

(d) memasang apa-apa loji atau kelengkapan baru atau menggantikan mana-
      mana loji atau kelengkapan yang ada bagi maksud pepasangan itu.

Kegagalan mematuhi subseksyen ini boleh menyebabkan lesen pemegang lesen dibatalkan menurut budi bicara Suruhanjaya.


56.   Pemansuhan Akta Elektrik 1949 dan Akta Jemaah Pemeriksa Elektrik 1983
        dan kecualian berkenaan dengannya

 (1) Akta Elektrik 1949 [Akta 116] dan Akta Jemaah Pemeriksa Elektrik 1983 [Akta 277] adalah dengan ini dimansuhkan.

(2) Mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta Jemaah Pemeriksa Elektrik 1983 hendaklah terus berkuat kuasa sehingga dibatalkan atau digantikan oleh peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini.

(3) Menteri boleh, bilamasa ternyata kepadanya perlu atau suai manfaat berbuat demikian sama ada bagi maksud menghapuskan kesulitan atau berbangkitan daripada terlulusnya Akta ini, melalui perintah membuat apa-apa ubah suaian pada mana-mana peruntukan dalam mana-mana peraturan dalam subseksyen (2) sebagaimana yang difikirkannya patut.


NOTA INI ADALAH PINDAAN SEHINGGA 2015. SEBARANG PINDAAN BOLEH MEMBUAT PINDAAN DENGAN MERUJUK LAMAN WEB SURUHANJAYA TENAGA.




























JADUAL PERTAMA

[Subseksyen 11 (2)]

MALAYSIA

NEGERI........................................................................

AKTA BEKALAN ELEKTRIK 1990

NOTIS CADANGAN MEMASUKI DAN MELAKUKAN
KERJA ATAS TANAH DI BAWAH SEKSYEN 11

Kepada:

Hakmilik atau perihal lain tanah.....................................................................................
Sila ambil perhatian bahawa saya/kami.........................................................................
..........................................yang beralamat di.............................................................................
adalah pemegang lesen yang bertarikh.......................................................................di bawah
Akta Bekalan Elektrik 1990 berhasrat memasuki tanah yang tersebut di atas bagi maksud  (di sini nyatakan dengan sepenuhnya dan setepatnya yang mungkin apa yang dicadangkan hendak dilakukan).

Dalam masa empat belas hari dai tarikh penerimaan notis ini anda boleh menyerahkan suatu bantahan sama ada secara lisan atau bertulis kepada Pentadbir Tanah Daerah di...........................................................................................................

Pentadbir Tanah Daerah telah menentukan.......................................................
sebagai hari yang bantahan itu akan didengar.

Melainkan jika anda menyerahkan suatu bantahan dalam masa yang dinyatakan, adalah menjadi anggapan bahawa anda telah mengizinkan kemasukan saya/kami ke tanah itu mengikut terma notis ini.

Anda akan dibayar pampasan yang sepatutnya bagi apa-apa kerosakan yang dilakukan.

Bertarikh............................ hari bulan..................... 20...............

.........................................
       Pemegang lessen

JADUAL KEDUA

[Subseksyen 11 (7)]

MALAYSIA

NEGERI........................................................................

AKTA BEKALAN ELEKTRIK 1990

PER1NTAH PENTADB1R TANAH DAERAH BERKENAAN DENGAN BANTAHAN TERHADAP KEMASUKAN ATAS TANAH

Kepada:
Dalam hal sesuatu siasatan yang diadakan di bawah subseksyen 11 (6) Akta Bekalan Elektrik 1990 di antara pemegang lesen dan pemunya tanah yang terletak di Lot No.......................................Hakmilik No.........................., Mukim..............................................

Suatu siasatan telah diadakan pada..............................................................................
di hadapan......................................................................................... Pentadbir Tanah Daerah
................................................................dalam kehadiran.........................................................
bagi pihak pemegang lesen dan................................................................bagi pihak pemunya
tanah.

Selepas mengadakan siasatan, adalah dengan ini diperintahkan seperti yang  berikut:
*(a) pemegang lesen dibenarkan memasuki tanah tersebut untuk melakukan kerja
sebagaimana yang dinyatakan dalam notis yang dikeluarkan di bawah subseksyen 11(2) Akta Bekalan Elektrik 1990.

*(b) pemegang lesen dibenarkan memasuki tanah tersebut untuk melakukan kerja
sebagaimana yang dinyatakan dalam notis yang dikeluarkan di bawah subseksyen 11(2) Akta Bekalan Elektrik 1990 tertakluk kepada syarat yang berikut:
(i)
(ii)
(iii)
(iv)
(nyatakan syarat)

*(c) pemegang lesen tidak dibenarkan memasuki tanah tersebut untuk melakukan
kerja yang dinyatakan dalam notis yang dikeluarkan di bawah subseksyen 11 (2) Akta Bekalan Elektrik 1990.


Bertarikh............................ hari bulan..................... 20...............

        .........................................................     Pentadbir Tanah Daerah
JADUAL KETIGA

[Subseksyen 16 (1)]

MALAYSIA

NEGERI........................................................................


AKTA BEKALAN ELEKTR1K 1990
PENAKSIRAN

Kepada:

Dalam hal siasatan bagi pembayaran pampasan di bawah seksyen 10*, 11* atau 13* Akta Bekalan Elektrik 1990 di antara pemegang lesen dan pemunya tanah yang terletak di lot No.............................Hakmilik No................., Mukim.................

Suatu siasatan telah diadakan pada.....................................................di......................
hadapan.............................................Pentadbir Tanah Daerah.................................................
dalam kehadiran........................................bagi pihak pemegang lesen dan..............................
bagi pihak pemunya tanah.

Selepas mengadakan siasatan, adalah dengan ini diperintahkan bahawa pampasan yang kena dibayar oleh pemegang lesen kepada pemunya tanah adalah seperti yang berikut:


Bertarikh............................ hari bulan..................... 20...............


............................................................
         Pentadbir Tanah Daerah




RUJUKAN :

1. Buku Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), Akta Bekalan Elektrik (Syarikat Pengganti) 1990 (Akta 448) & Peraturan-peraturan.
Hingga 5 sept 2014,

Cara Mengesan Kerosakan Motor 3 Fasa - Motor sangkar Tupai
  1. Cara Mengesan Kerosakan Motor 3 Fasa - Motor sangkar Tupai - New!
Cara pemasangan/wiring Sistem Pembumian (wayar bumi) elektrik di rumah dan industri
  1. Cara pemasangan/wiring Sistem Pembumian (wayar bumi) elektrik di rumah dan industri
Contoh soalan (ujian/kuiz) PENDAWAIAN KONDUIT UNTUK PENDAWAIAN INDUSTRI
  1. Contoh soalan (ujian/kuiz) PENDAWAIAN KONDUIT UNTUK PENDAWAIAN INDUSTRI